BERITA SEMASA

MCMC perkukuh ketersambungan digital UTeM dengan 410 titik Wi-Fi, menara 4G

DURIAN TUNGGAL – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh ketersambungan digital di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi penyediaan 410 titik capaian Wi-Fi (AP) serta sebuah menara komunikasi 4G baharu.

Pengarah Kanan MCMC Wilayah Selatan, Ts. Rizal Abd Malek yang mewakili Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, meninjau pelaksanaan projek berkenaan di UTeM hari ini bagi melihat kemajuan penaiktarafan infrastruktur digital serta keperluan ketersambungan warga kampus.

titik
Titik capaian Wifi (AP) yang telah dipasang di UTeM.

MCMC berkata, inisiatif menerusi Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 12,000 pelajar UTeM, khususnya bagi menyokong keperluan pembelajaran, pengajaran dan latihan berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Daripada keseluruhan 410 AP yang dirancang, sebanyak 108 AP telah mula beroperasi sejak Jun 2025 menerusi Projek Wi-Fi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Fasa 2.

“Sebanyak 302 AP tambahan sedang dilaksanakan menerusi Fasa 3 dan dijadualkan siap pada 23 September 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, sebuah menara komunikasi 4G baharu turut dibangunkan di kawasan UTeM dan dijangka siap pada November 2026.

Menurut MCMC, kemudahan itu akan membantu memperkukuh liputan komunikasi serta meningkatkan kualiti dan pengalaman penggunaan perkhidmatan digital dalam kalangan warga kampus.

“UTeM memerlukan capaian Internet yang stabil, pantas dan berkapasiti tinggi bagi menyokong penggunaan makmal pintar, perisian kejuruteraan berasaskan awan, simulasi digital serta pelbagai aplikasi pembelajaran,” katanya lagi.

MCMC berkata, penaiktarafan berkenaan turut dijangka mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif, selain membolehkan pelajar dan tenaga pengajar memanfaatkan teknologi digital dengan lebih berkesan.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Komunikasi melalui MCMC untuk memperkukuh ketersambungan digital di IPTA, selaras dengan keperluan pendidikan masa kini serta perkembangan teknologi yang semakin pesat,” katanya lagi.

Menurutnya, ketersambungan digital lebih baik di institusi pendidikan bukan sahaja memudahkan akses kepada sumber pembelajaran, malah membantu menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengalaman digital yang relevan dengan keperluan industri.

Penaiktarafan infrastruktur digital di UTeM juga dijangka menyumbang kepada pengukuhan ekosistem TVET negara, meningkatkan kesiapsiagaan graduan menghadapi perubahan teknologi serta menyokong pembangunan bakat digital dan teknikal yang diperlukan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr. Mohd Rizal Salleh; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohd Sharif; Ketua Jabatan Hal Ehwal Kerajaan dan Pemberian Perkhidmatan Sejagat Maxis Berhad, Mohd Fuad Romeli; Pengarah Projek Acoda Towers Sdn. Bhd., Ahmad Faisal dan Pengarah Projek Citaglobal Telecommunication Sdn. Bhd., Mohammad Faisal Adnan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button