Dua pelajar temui emas bernilai RM43 juta
BRUSSELS – Dua pelajar yang sedang menjalani kerja sambilan tidak menyangka tugas mengubah suai sebuah bangunan lama membawa kepada penemuan ‘harta karun’ berupa jongkong dan syiling emas bernilai kira-kira RM43 juta di Belgium.
Penemuan itu berlaku ketika kedua-dua mereka menjalankan kerja berkaitan paip kumbahan di sebuah bekas kilang bir di Sint-Gillis-Dendermonde, kira-kira 40 minit dari Brussels, pada Selasa lalu.
Seorang daripada mereka, Kobe, 18, dikatakan sedang mengorek bahagian dinding pada sebelah pagi sebelum menemukan sejumlah syiling yang pada mulanya disangkanya hanya syiling biasa bernilai satu euro.
Bagaimanapun, keadaan berubah selepas mereka menemukan ketulan emas dan jongkong yang tersembunyi di sebalik dinding berkenaan, lapor Dailymail.

Pemeriksaan lanjut mendapati simpanan itu turut mengandungi sejumlah besar syiling selain jongkong dan ketulan emas dengan keseluruhan nilainya dianggarkan mencecah £7.5 juta (RM43 juta).
Terkejut dengan penemuan berkenaan, kontraktor terbabit segera menghubungi pihak pemilik aset dan badan kebajikan CAW Oost-Vlaanderen, sebelum polis dipanggil ke lokasi.
Harta karun itu kemudian dipindahkan ke peti besi berkeselamatan tinggi milik kerajaan Belgium sementara siasatan dijalankan.
Polis kini menyiasat bagaimana emas berkenaan boleh tersembunyi dalam bangunan tersebut serta mengenal pasti pemilik asalnya.
Lebih menarik, sebahagian jongkong yang ditemukan mempunyai cap tahun sekitar 1957 dan 1961, menimbulkan persoalan mengenai sejarah harta karun yang tersembunyi itu.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








