JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga pelajar maut kemalangan motosikal

MELAKA – Tiga pelajar sekolah menengah maut dalam satu kemalangan melibatkan tiga motosikal di Jalan Tambak Paya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan yang berlaku pukul 3.50 pagi itu mengorbankan dua penunggang motosikal, Muhammar Adiff Farihin Mohd Anuar, 15; Muhammad Azmi Abdul Rahimah, 16; dan seorang pembonceng, Nur Khairiah Mat Mazlin, 16.

Selain itu, seorang lagi penunggang motosikal, Muhammad Haziq Haikal Kassim, 18, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 4.02 pagi.

“Siasatan di lokasi mendapati dua motosikal dari arah Bukit Katil menghala ke Tiang Dua manakala sebuah lagi dari arah bertentangan.

“Setibanya di tempat kejadian, ketiga-tiga motosikal dipercayai bertembung secara berdepan di tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat pertembungan itu, dua penunggang motosikal dan seorang pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum jasad mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bedah siasat.

“Seorang lagi mengalami kecederaan parah di kepala, kaki dan tangan serta sedang menerima rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk pemeriksaan teknikal ke atas semua kenderaan terlibat di PUSPAKOM,” katanya.

Tambah beliau, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rakaman papan pemuka (dashcam) atau saksi bebas ditemui di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button