Rangka kanak-kanak hilang 4 hari ditemukan di tebing sungai
KENINGAU – Kehilangan seorang kanak-kanak lelaki sejak empat hari lalu berakhir dengan penemuan menyayat hati apabila rangka dipercayai miliknya ditemukan di tebing Sungai Sigapon, semalam.
Mangsa, Muhammad Aidan Ridwan Abdullah, 10, sebelum ini dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas di Sungai Pagalan, Sook pada 24 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, penemuan rangka itu bermula apabila seorang lelaki yang sedang memancing terhidu bau busuk sebelum menghampiri kawasan berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.
“Polis menerima maklumat mengenai penemuan itu pada jam 9.17 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Siasatan awal mendapati rangka yang ditemui dipercayai milik mangsa yang dilaporkan lemas sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, lokasi penemuan rangka berkenaan adalah kira-kira 23 kilometer dari lokasi asal mangsa dilaporkan hilang.
Tambahnya, keadaan rangka yang tidak sempurna dipercayai akibat dimakan haiwan liar, dengan hanya tinggal sebahagian tulang serta cebisan kulit dan tisu.
“Semua sisa rangka telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut.
“Pengecaman telah dilakukan oleh ibu mangsa sekitar jam 3 petang semalam dan disahkan berdasarkan struktur gigi,” katanya lagi.
Dalam kejadian terdahulu, mangsa bersama datuknya, Fredoline Yariki, 60, dilaporkan hilang ketika memeriksa bot di sungai berkenaan.
Warga emas itu bagaimanapun ditemukan lemas di Sungai Banjar, Mempikit pada keesokan hari, manakala cucunya dipercayai dihanyutkan arus sebelum ditemukan dalam keadaan menyayat hati.
Insiden tragis itu menjadi peringatan kepada orang ramai agar lebih berwaspada ketika menjalankan aktiviti berhampiran sungai, khususnya ketika musim hujan dan arus deras.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








