AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Robotik Dunia: Malaysia raih kemenangan berganda di China

BEIJING – Pasukan Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya meraih pingat emas dan perak dalam Kejohanan Dunia International Robot Challenge 2025 yang berlangsung di Gymnasium of Beijing Science and Technology University, China, dari 15 hingga 17 Ogos lalu.

Pengasas dan Pengarah Urusan World of Robotics Sdn Bhd, Lee Yew Kein berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan anak-anak Malaysia untuk bersaing di pentas antarabangsa sekiranya diberi pendedahan dan bimbingan sewajarnya.

Anugerah pingat Perak buat peserta Malaysia

“Pelajar-pelajar kita telah membuktikan bahawa dengan usaha gigih, disiplin tinggi dan sokongan padu daripada ibu bapa serta jurulatih, mereka mampu mencapai kecemerlangan di peringkat dunia. Pingat emas ini adalah hasil usaha kolektif seluruh pasukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejayaan itu dicapai menerusi kategori Puck Collector Junior, sekali gus meletakkan nama Malaysia sebaris dengan lebih 40 negara lain yang turut bersaing dalam kejohanan berprestij tersebut.

Pelajar Malaysia mengharumkan nama negara di Beijing dengan meraih pingat Emas.

Pencapaian tahun ini dianggap membanggakan selepas pasukan negara hanya membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa pada edisi terdahulu.

Beliau berkata, latihan intensif sejak Mei lalu bukan sahaja menekankan aspek teknikal, tetapi turut membentuk semangat berpasukan, disiplin serta daya tahan dalam kalangan peserta.

Menurutnya lagi, kejayaan itu bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada misi lebih besar dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bakat robotik di rantau Asia.

“Kami berhasrat untuk memperluas jangkauan ke sekolah-sekolah di seluruh negara bagi melatih ribuan pelajar dan mempersiapkan mereka sebagai peneraju teknologi, inovasi dan keusahawanan.

“Matlamat kami adalah melahirkan generasi muda yang mampu mencipta penyelesaian kepada cabaran global,” katanya lagi.

World of Robotics Sdn Bhd dalam pada itu menegaskan komitmen mereka untuk terus memperkasa pendidikan robotik di Malaysia, termasuk memberi peluang kepada pelajar menyertai lebih banyak pertandingan antarabangsa pada masa akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button