BERITA SEMASA

Baung ekor merah, Alligator Gar antara ikan larangan dirampas DOF

IPOH – 154 jenis ikan larangan dianggarkan bernilai RM13,000 telah dirampas Jabatan Perikanan (DOF) Perak menerusi Operasi pemantauan (Ops Darat) sepanjang tahun ini.

Rampasan itu membabitkan 24 operasi pemantauan di 30 premis akuarium di seluruh Perak antaranya di Ipoh, Teluk Intan dan Ayer Tawar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Zolkafly Harun berkata, rampasan terhadap ikan larangan itu melibatkan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Sebanyak 15 premis yang telah diperiksa di Ipoh, Teluk Intan serta Ayer Tawar didapati melakukan kesalahan dan kita telah merampas 105 jenis ikan larangan pelbagai spesies yang dianggar bernilai RM 4,700.

“Operasi di Kampung Tawas Ipoh pula telah menyita 42 ikan jenis bongkok, tiga alligator gar, dua baung ekor merah dan masing-masing seekor flower horn dan gulper catfish dianggar bernilai RM 8,300,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas turut sama turun padang dalam Program Kesedaran dan Operasi Pemutihan Ikan Larangan di Premis Akuarium Ikan Hiasan di sekitar Ipoh.

Turut menyertai program itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak, Mohd Ghazali A. Manap.

Tambah Zolkafly, spesies ikan yang telah dirampas adalah spesies yang dilarang untuk mengimport, menjual, memelihara, mempamer atau menyimpan (5M) ikan hidup.

“(Ia adalah kesalahan) mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, DSB, Bagi Ikan) 1990 (Pindaan 2024), Seksyen 49 Akta 317,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button