Anwar puas hati kemajuan pembinaan LCS
LUMUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati terhadap kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) oleh Lumut Naval Shipyard (Lunas) dan menyifatkan pencapaian itu sebagai membanggakan menepati keutamaan Kerajaan MADANI terhadap keselamatan negara.
Berucap dalam Program Kenduri Rakyat bersama warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut semalam, Anwar menegaskan bahawa pembinaan LCS diteruskan di bawah Kementerian Kewangan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan prinsip tatakelola yang baik.
“Kita tidak boleh kompromi dalam soal keselamatan maritim. Jika pengurusan lemah dan berlaku rasuah, keselamatan negara akan tergugat. Sebab itu kita tekankan ‘good governance’,” katanya memetik laporan Bernama.
Menurut beliau, TLDM memainkan peranan penting sebagai benteng utama negara dalam menghadapi ancaman seperti keganasan, pencerobohan serta penyeludupan di perairan negara.
Anwar sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan LCS di Pangkalan TLDM Lumut bagi meninjau perkembangan semasa projek berkenaan.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan merupakan antara kementerian yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2025 iaitu sebanyak RM21.2 bilion selepas Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
“Peruntukan besar ini bukan sembarangan. Ia mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan demi menjamin kestabilan negara iaitu asas utama untuk pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.
Anwar turut meluahkan rasa terkesan apabila mengetahui masih ada aset-aset pertahanan negara yang usang dan perlu diganti.
Justeru, katanya, sejak penubuhan Kerajaan MADANI, beliau telah meminta semua panglima tentera menyenaraikan keutamaan bagi memastikan kelengkapan pertahanan dapat ditambah baik mengikut keperluan semasa.
“Kita akan cari dana yang cukup untuk pastikan jentera dan kelengkapan mereka dipersiapkan dengan baik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








