PMX

Kerajaan sedia tambah bantuan STR – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan sedia untuk menambah kadar bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) jika pelaksanaan subsidi bersasar kelak memberi kesan kepada golongan rentan dan memerlukan.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pendekatan subsidi bersasar akan terus diambil kira pentadbirannya, namun kerajaan akan menyediakan jaringan keselamatan yang lebih efektif untuk golongan rentan dan miskin.

“Tidak ada kadar tambahan (kenaikan kos) rakyat, tapi tidak untuk 10 peratus yang (berpendapatan) teratas, subsidi akan ditarik. Maknanya, kita dapat menyelamatkan hampir RM4 bilion daripada penyasaran subsidi ini.

“Saya beri jaminan andai kata penarikan subsidi berlaku dan mengesankan kepada rakyat, kita akan tambah STR supaya mereka dapat tampung kerugian itu,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Keadilan 2023 di sini, malam ini.

Tambah Presiden PKR itu, langkah subsidi pukal tidak lagi relevan dan mampan tatkala kos menampung terus membengkak setiap tahun.

“Subsidi kepenggunaan pada 2022 saja berjumlah RM77.3 bilion yang meliputi subsidi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik, lantas menjadikan ia jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah.

“Tidak ada kerajaan yang mampu dengan amalan subsidi sekarang. Tapi subsidi yang mahu ditarik tidak harus membebankan rakyat. Jadi diharap hal ini difahami,” katanya lagi.

Anwar berkata, jumlah subsidi boleh meningkat kepada RM81 bilion bagi tahun mendatang jika tidak ditangani segera.

“Kita tak naikkan harga, tapi tarik subsidi untuk orang kaya. Maknanya, subsidi itu macam sedekah.

“Kitalah yang paling baik di dunia ini sebab kita sedekah pada orang kaya. Ini yang berlaku dalam negara dan harus diperbetulkan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button