ASEAN perlu bersatu hadapi cabaran global yang semakin kompleks – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kesepaduan ASEAN kini lebih penting berbanding sebelumnya dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi global yang semakin kompleks.
Berucap sempena Hari ASEAN ke-58, Anwar berkata Malaysia berbesar hati memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun yang disifatkannya sebagai ‘bersejarah dan mencabar’ ketika dunia menyaksikan persaingan strategik yang mempengaruhi pelaburan, teknologi serta pergerakan barangan.
“58 tahun yang lalu, ASEAN ditubuhkan dengan tujuan yang mudah namun kekal relevan; untuk mengekalkan keamanan, membina kepercayaan dan memupuk kerjasama dalam kalangan negara jiran.
“Visi tersebut kekal menjadi asas kukuh kepada komuniti kita pada hari ini.
“Keupayaan kita untuk bersuara dengan jelas, berkoordinasi dengan berkesan, dan melindungi kepentingan bersama akan menentukan kerelevanan ASEAN pada masa depan,” katanya melalui satu video berdurasi empat minit 50 saat yang dimuat naik di laman media sosial beliau.
Anwar menekankan ASEAN perlu bersedia menghadapi peralihan besar dalam era pendigitalan dan penyahkarbonan dengan terus melabur dalam kemahiran, infrastruktur dan kapasiti institusi.
“Hari ini, ASEAN merupakan rumah kepada lebih 670 juta penduduk. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan kita hampir mencecah AS$4 trilion (RM16.9 trilion), menjadikan kita ekonomi kelima terbesar di dunia.
“Menjelang 2030, kita berpotensi menjadi yang keempat terbesar. Namun, skala sahaja tidak mencukupi. Kita mesti berkembang dengan cara yang lebih inklusif, mampan dan dirasai manfaatnya oleh semua pihak.
“Itulah fokus utama Pengerusian Malaysia. Dan itulah legasi yang kami harap dapat diserahkan kepada Filipina apabila mereka mengambil alih jawatan Pengerusi pada tahun 2026,” ujar beliau.

Mengulas kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, beliau menyifatkan langkah itu bakal melengkapkan keanggotaan serantau dan memperkukuh prinsip keterbukaan serta sokongan bersama dalam pembangunan.
“Malaysia komited memastikan ASEAN kekal di tengah-tengah dialog dan kerjasama serantau, bukan sekadar dari segi bentuk tetapi juga pengisian,” tegasnya sambil menyeru pendekatan konstruktif terhadap isu-isu sukar termasuk situasi di Myanmar.
Perdana Menteri berkata, Wawasan ASEAN 2045 menetapkan matlamat jangka panjang untuk sebuah rantau yang berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat.
“Ia adalah dokumen berpandangan jauh, tetapi kejayaannya bergantung pada tindakan yang kita ambil sekarang, daripada meningkatkan keterhubungan serantau hingga memperkukuh keselamatan makanan dan tenaga,” katanya.
Beliau berkata ulang tahun sering menjadi peluang untuk merenung, bukan sahaja terhadap pencapaian yang diraih, tetapi juga kerja yang masih menanti.
Anwar mengakui bahawa kemajuan ASEAN adalah nyata, namun cabaran yang bakal dihadapi juga sama besarnya.
“Apa yang akan membawa kita terus maju dengan kekuatan dan keyakinan adalah pendekatan sama yang membina komuniti ini sejak awal iaitu pandangan jauh strategik, saling menghormati dan mempercayai serta komitmen untuk bekerjasama.
“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan Selamat Hari ASEAN ke-58 kepada semua warga ASEAN.
“Semoga kerjasama kita terus diperkukuh. Semoga kesatuan kita tetap utuh. Dan semoga ASEAN terus menjadi contoh gemilang keamanan, kemajuan dan perkongsian di rantau kita dan di seluruh dunia,” kata Anwar menutup ucapannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








