BERITA SEMASA

Anwar tinggalkan Istana Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan, di sini selepas hampir sejam menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Perdana Menteri yang menaiki kenderaan rasmi sempat melambai ke arah pengamal media yang menunggu di luar istana pada kira-kira pukul 7 petang tadi.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan kenyataan beliau tidak berjaya dan Anwar hanya menunjukkan isyarat cuaca hujan.

Sesi menghadap itu dipercayai susulan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Sembilan yang berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali malam semalam, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.

Azizi berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang Dipertuan Besar.

Ahli-ahli berkenaan telah masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

Susulan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim perlu mempersembahkan senarai calon Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button