PRN Melaka: Azman mahu perkasa kemahiran belia India, tangani penghijrahan anak muda
PAYA RUMPUT – Kekurangan peluang pekerjaan dan pendapatan antara isu yang mahu diberi perhatian calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin, khususnya dalam kalangan belia masyarakat India.
Beliau berkata, walaupun kawasan Paya Rumput mempunyai banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peluang pekerjaan serta pendapatan ditawarkan masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan golongan berkenaan.
Katanya, usaha memperluas latihan kemahiran perlu diberi perhatian bagi meningkatkan kebolehpasaran belia, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan keperluan industri.
“Jadi kita nak lihat mungkin salah satu yang kita boleh lakukan adalah selepas ini kita tingkatkan dari segi kemahiran.
“Atas-atas itu kerajaan melihat bahawa Melaka ini kita nak dalam bajet yang lepas kita jadikan nak jadikan satu tempat centre of excellence, pusat kecemerlangan untuk TVET.
“Kita nak beri latihan untuk kemahiran kepada masyarakat terutamanya golongan muda di negeri Melaka amnya, khususnya di Paya Rumput ini,” katanya selepas menyantuni masyarakat India di sini hari ini.
Baca juga : Azman beri perhatian kepada keperluan penduduk B40 di Paya Rumput
Azman berkata, usaha berkenaan juga penting dalam jangka panjang bagi mengurangkan penghijrahan golongan muda ke luar Melaka untuk mendapatkan pekerjaan.
Katanya, perkara itu antara isu yang perlu diberi perhatian memandangkan pembangunan kemahiran boleh membantu menyediakan tenaga kerja tempatan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Terdahulu, beliau berkata, kunjungannya ke kuil berkenaan mendapat sambutan baik masyarakat India yang turut diberi penerangan mengenai usaha kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan untuk komuniti itu.
Menurutnya, peningkatan peruntukan berkenaan meliputi bidang pendidikan, kesejahteraan, kebajikan dan perniagaan.
Beliau turut mengajak masyarakat India memberikan sokongan kepadanya sebagai calon PH pada hari pengundian 14 November ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














