BERITA SEMASA

PRN Melaka: Ginie Lim mahu budaya politik baharu menerusi dialog terbuka, bukan perbahasan

MACHAP JAYA – Budaya politik baharu yang mengutamakan perbincangan dan pertukaran pandangan secara matang perlu diketengahkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bukannya menjadikan pentas politik sebagai medan perbahasan atau mencari kesalahan pihak lawan.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, cadangan mengadakan dialog terbuka bersama calon lain bertujuan menunjukkan contoh politik lebih matang dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat.

Menurutnya, pendekatan itu juga membolehkan pengundi menilai sendiri tawaran dan kemampuan setiap calon tanpa dipengaruhi budaya saling menyalahkan antara parti yang bertanding.

“Saya tegaskan di sini, ia adalah dialog terbuka, bukan perbahasan kerana saya berharap kita dapat menunjukkan teladan yang baik dari segi budaya politik baharu untuk kita berbincang.

“Dengan cara itu, penduduk atau pengundi dapat menilai sendiri apa yang boleh kami tawarkan tanpa mengungkit-ungkit pihak lawan ataupun mencari kesalahan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini.

Beliau berkata, jemputan rasmi telah dikemukakan kepada calon-calon lain pada hari penamaan calon bagi membolehkan ketiga-tiga pihak duduk semeja dan membincangkan isu yang dihadapi penduduk Machap Jaya.

Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak saling menyalahkan, sebaliknya setiap calon perlu menunjukkan kesediaan mencari penyelesaian terhadap permasalahan masyarakat.

“Siapa pun yang menjadi wakil rakyat di sini atau terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sudah pasti apa juga masalah perlu diselesaikan.

“Tiada maknanya untuk menyalahkan siapa yang terdahulu ataupun sebelumnya kerana apa yang penting adalah bagaimana kita mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Dalam pada itu, Ginie berkata, hasil maklum balas yang dikumpulkan sepanjang tempoh berkempen menunjukkan tiga perkara utama perlu diberi perhatian di Machap Jaya.

Katanya, perkara tersebut merangkumi keselamatan penduduk, pembangunan ekonomi serta kemajuan tanah yang menjadi antara keperluan masyarakat setempat.

Beliau berkata, perincian mengenai ketiga-tiga keutamaan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat bagi membolehkan cadangan penyelesaian dibincangkan secara lebih menyeluruh menerusi dialog berkenaan.

Mengulas maklum balas calon lain terhadap jemputan itu, Ginie berkata, beliau masih belum menerima sebarang pemakluman rasmi berhubung keputusan mereka untuk menolak pelawaan berkenaan.

“Saya masih menunggu. Sekiranya beliau menolak, saya berharap beliau dapat mempertimbangkannya semula kerana ini adalah untuk kebaikan pengundi.

“Penduduk perlu diberi peluang membuat keputusan dan menentukan pilihan terbaik berdasarkan tawaran serta kemampuan setiap calon,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button