Kartiyaini selesai masalah longkang tersumbat dalam tiga hari
JOHOR BAHRU – Tindakan pantas calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Kartiyaini Jayapalan menyelesaikan masalah longkang tersumbat dalam tempoh tiga hari mendapat pujian penduduk setempat.
Kartiyaini berkata, masalah yang telah berlarutan selama beberapa bulan itu dibangkitkan oleh seorang penduduk ketika beliau mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan baru-baru ini.
Menurutnya, penduduk terbabit memaklumkan bahawa beliau telah membuat empat aduan kepada pihak berkaitan sebelum ini, namun masalah longkang tersumbat itu masih belum diambil tindakan sehingga menjejaskan sistem perparitan dan menimbulkan kesulitan kepada penduduk.
Sejurus menerima aduan tersebut, Kartiyaini bersama pasukannya segera mengambil tindakan susulan dengan menyelaras kerja-kerja pembersihan bersama kontraktor yang terlibat.
“Alhamdulillah, masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama berjaya diselesaikan dalam masa tiga hari selepas aduan diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, meskipun masalah sumbatan telah berjaya diatasi, terdapat isu lain melibatkan perbezaan aras longkang di lokasi berkenaan yang memerlukan perhatian lanjut.
“Saya dan pasukan akan terus memantau kerja-kerja penambahbaikan serta berhubung dengan pihak berkaitan bagi memastikan penyelesaian yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.
“Kita mahu memastikan setiap projek yang dilaksanakan mencapai standard yang ditetapkan dan sistem saliran dapat berfungsi dengan baik bagi mengurangkan risiko banjir kilat serta takungan air,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa penduduk supaya terus menyalurkan aduan berhubung masalah setempat kepada pasukan khidmat masyarakatnya agar tindakan segera dapat diambil demi kesejahteraan komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















