Rakyat diminta nilai fakta, jangan terpengaruh politik fitnah – Dr Sathia Prakash
JOHOR BAHRU – Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menggesa pengundi di Johor supaya menilai setiap isu yang dibangkitkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) berdasarkan fakta dan bukan terpengaruh dengan dakwaan yang bertujuan mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, menjelang hari pengundian pada 11 Julai ini, pelbagai isu kecil sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu bagi mencipta persepsi negatif terhadap kepimpinan Kerajaan MADANI.
Menurutnya, antara isu yang dimainkan ialah dakwaan membabitkan penggunaan kenderaan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa mengambil kira penjelasan sebenar mengenai perkara tersebut.
“Banyak perkara yang dibangkitkan tidak berdasarkan fakta sepenuhnya. Apabila diteliti, ceritanya berbeza daripada apa yang digambarkan.
“Malangnya ada pihak yang terus mencari kesalahan walaupun tiada kesalahan yang berlaku. Isu-isu kecil diperbesar-besarkan untuk mengelirukan masyarakat, khususnya pengundi di Johor,” katanya ketika program saringan kesihatan percuma di DUN Wangsa Puteri, hari ini.
Beliau berkata, pengundi terutama golongan muda perlu menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Jangan mudah terpengaruh dengan maklumat yang tular tanpa membuat semakan terlebih dahulu. Kita perlu menilai sesuatu isu secara matang dan logik berdasarkan fakta yang sahih.
“Jangan biarkan sentimen agama dan kaum digunakan untuk mengelirukan rakyat,” katanya lagi.
Mengulas mengenai pelbagai kajian dan ramalan yang dikeluarkan menjelang hari pengundian, Sathia berkata, keputusan sebenar hanya akan ditentukan oleh rakyat menerusi peti undi.
“Banyak kajian dan ramalan dikeluarkan tetapi akhirnya rakyat yang akan menentukan keputusan. Kita pernah melihat ramalan yang tidak menjadi kenyataan sebelum ini.
“Sebab itu saya percaya kuasa sebenar berada di tangan pengundi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan rekod pentadbiran Perdana Menteri sebagai pemimpin yang banyak membantu rakyat serta mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Sudah tentu ada pihak yang cuba memutarbelitkan isu tertentu, namun sumbangan dan usaha beliau di dalam dan luar negara tidak boleh dinafikan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Sathia menyeru rakyat Johor supaya keluar mengundi beramai-ramai pada hari pengundian nanti bagi memastikan mandat yang diberikan benar-benar mencerminkan suara majoriti rakyat.
“Undi adalah hak setiap rakyat. Gunakan hak tersebut dengan sebaik-baiknya.
“Pada PRN lalu, peratusan keluar mengundi hanya sekitar 54 peratus dan ia agak rendah. Saya berharap kali ini lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka kerana setiap undi penting untuk menentukan masa depan Johor dan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















