PRN: Anwar seru pengundi Johor beri peluang PH tadbir, tekankan tatakelola baik
BATU PAHAT – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengundi di Johor memberi peluang kepada gabungan itu mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memandangkan masih terdapat banyak isu rakyat yang belum diselesaikan.
Perdana Menteri berkata, antara isu utama yang perlu diberi perhatian termasuk kos rumah yang semakin mahal, bantuan kepada golongan susah serta keperluan asas rakyat yang memerlukan pendekatan lebih berkesan daripada pihak kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan akan terus membantu melalui pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan terus kepada rakyat tanpa birokrasi berlapis.
“Rumah rakyat mahal ini kerja negeri, kalau negeri tak buat kita kena campur bantu rakyat. Kita mahu pastikan bantuan sampai terus kepada mereka yang layak,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang di sini, hari ini.
Hadir sama, calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar; DUN Penggaram, Felicia Poh Rui Ling dan DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri.
Anwar menegaskan, tadbir urus yang baik menjadi kunci utama dalam memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, telus dan bebas daripada ketirisan.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan beliau tidak pernah mengambil sebarang projek, tanah atau saham sepanjang memegang jawatan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membanteras ketirisan dan salah guna kuasa.
Katanya, Johor merupakan negeri yang maju dari segi pembangunan, namun isu rakyat seperti perumahan dan kos sara hidup masih perlu diberi perhatian serius.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi memberi ruang kepada PH untuk membawa perubahan dalam pentadbiran negeri bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat.
“Saya meminta pengundi memberi ruang kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir Johor bagi membawa perubahan dan memperkukuh kesejahteraan rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















