PM tegas ambil tindakan maksimum jika keselamatan negara digugat
AMPANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras bahawa tindakan maksimum akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencabar undang-undang atau menggugat keselamatan negara, termasuk peserta perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang dirancang malam ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kebebasan bersuara serta hak untuk mengkritik kerajaan tetap dijamin, selagi tidak melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum.
“Kita lebih bebas sekarang. Nak beri pandangan boleh, nak kritik boleh.
“Tetapi, kalau kamu ganggu keselamatan negara atau cuba mencabar undang-undang, saya akan ambil tindakan maksimum,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh; Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua PKR Cabang Klang, Azmizam Zaman Huri serta pimpinan dan ahli parti.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan peserta perhimpunan supaya tidak mengambil alih peranan pihak berkuasa dan tidak mengeksploitasi isu sensitif sehingga boleh menjejaskan hubungan antara kaum.
“Kamu bukan hakim, kamu bukan polis dan jangan cuba ambil alih tugas polis,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.
BACA JUGA:
Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram tetap diteruskan – Zamri Vinoth
Polis tidak benarkan perhimpunan GARAH atas faktor keselamatan awam
Lawatan Modi: KDN minta orang ramai tidak adakan perhimpunan
Orang ramai digesa tidak adakan perhimpunan esok – KDN
Ahli Parlimen Tambun itu juga menegaskan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan pembinaan rumah ibadat tanpa mematuhi undang-undang, sambil menekankan bahawa peraturan tersebut terpakai kepada semua pihak.
“Kalau kita langgar peraturan, hasilnya kebencian dan masalah tidak akan selesai,” jelas Anwar lagi.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan bahawa pihak polis tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di hadapan kompleks beli-belah Sogo.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan risikan keselamatan serta maklum balas pihak berkepentingan, termasuk pemilik premis di sekitar lokasi perhimpunan.
Bagaimanapun, seorang penceramah bebas kontroversi yang juga penyelaras gerakan berkenaan, Zamri Vinoth semalam menegaskan bahawa perhimpunan itu tetap akan diteruskan.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa pihak polis akan bertemu penganjur bagi meminta perhimpunan tersebut dibatalkan, mengambil kira lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














