Tak perlu tunggu pegawai, pekebun lada ada ‘doktor’ 24 jam
KUALA LUMPUR – Tiga aplikasi digital yang dibangunkan Lembaga Lada Malaysia (MPB) membolehkan pekebun kecil mendapatkan khidmat nasihat berkaitan penjagaan tanaman, pengesanan penyakit dan kekurangan nutrien lada pada bila-bila masa tanpa bergantung sepenuhnya kepada pegawai lapangan.
Ketua Pengarah MPB, Vincent Sawat berkata, aplikasi Dr Lada, Lada Go dan Nutri Lada diperkenalkan sebagai antara pendekatan baharu kerajaan dalam membantu kira-kira 39,000 pekebun lada berdaftar, khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, penggunaan teknologi berkenaan penting berikutan kekangan sumber manusia, terutama pegawai pembangunan yang tidak mampu meliputi keseluruhan jumlah pekebun di seluruh negara.
“Sekarang kebun yang berdaftar dengan kita ada 39,000. Jadi pegawai pembangunan kita tidak dapat meliputi semua, sebab itu kita wujudkan aplikasi yang boleh digunakan pekebun 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
“Dr Lada dan Lada Go membantu pekebun mengenal pasti penyakit atau masalah tanaman lada menggunakan telefon pintar. Aplikasi itu akan membuat diagnosis dan memberikan solusi terhadap masalah berkenaan,” katanya menerusi podcast Suara TV.
Beliau berkata, Nutri Lada pula membolehkan pekebun mengenal pasti kekurangan nutrien pada pokok lada berdasarkan simptom yang ditunjukkan.

Vincent berkata, Dr Lada mempunyai fungsi luar talian, manakala Lada Go beroperasi secara dalam talian, sekali gus membolehkan pekebun di kawasan yang tidak mempunyai liputan internet menggunakan aplikasi berkenaan.
“Ini bermakna kalau di kawasan pedalaman yang tiada liputan internet, mereka masih boleh menggunakan aplikasi ini,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga aplikasi itu akan dinaik taraf di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebelum digabungkan menjadi satu aplikasi bagi memudahkan pekebun mendapatkan pelbagai maklumat dan khidmat berkaitan tanaman lada.
“Pendek kata, tidak ada alasan bagi pekebun untuk mencapai kita kerana ada aplikasi yang boleh mereka gunakan pada bila-bila masa, tidak kira di mana lokasi mereka,” katanya.
Vincent berkata, aplikasi berkenaan disediakan secara percuma dan boleh dimuat turun menerusi peranti Android serta iOS
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada pekebun kecil, termasuk peralatan pertanian bagi mengurangkan beban kos pengeluaran serta meningkatkan hasil dan kualiti lada di peringkat ladang.
Katanya, penghasilan lada berkualiti tinggi membolehkan pekebun memperoleh pulangan yang lebih baik.

Selain bantuan input dan peralatan, MPB turut melaksanakan kursus pembangunan modal insan bagi meningkatkan pengetahuan pekebun dalam pengurusan kebun.
“Kita bukan sahaja mengadakan kursus di bandar atau pusat latihan yang ditetapkan, malah kita turun ke kampung-kampung dan mengadakan latihan secara one-to-one di ladang.
“Kita tunjukkan kepada mereka cara penjagaan kebun yang baik, pembajaan dan cara mengenal pasti penyakit. Ini membantu meningkatkan pengetahuan mereka dalam pengurusan kebun,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan usaha kerajaan memastikan pekebun kecil terus mendapat sokongan untuk meningkatkan produktiviti, kualiti hasil dan seterusnya pendapatan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








