JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita warga emas ditemukan meninggal dunia dalam kereta

MELAKA – Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia di tempat duduk penumpang hadapan sebuah kereta Proton Saga di kawasan parkir Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asistan Komisioner Halim Abas berkata, mangsa berusia 69 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 4 petang dalam keadaan masih memakai pakaian hospital dan tangan kirinya beranduh.

Menurutnya, mangsa sebelum itu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka akibat retak bahu kiri selepas terjatuh di rumah.

“Hasil siasatan mendapati anak lelaki mangsa berusia 44 tahun menerima panggilan daripada Hospital Melaka pada pukul 1.50 petang untuk membawa pulang ibunya yang masih memakai pakaian hospital kerana tiada pakaian ganti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata, anak mangsa tiba di kawasan parkir berkenaan kira-kira pukul 2.50 petang, namun wanita itu dikatakan enggan keluar dari kereta.

Katanya, pada pukul 3.30 petang, jiran mangsa berusia 47 tahun kemudian mendapati wanita itu tidak sedarkan diri dengan sebelah kakinya berada di luar kereta.

“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada kecederaan yang mencurigakan dan setakat siasatan dijalankan, tiada unsur jenayah dikesan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan pernah menerima rawatan di Hospital Melaka.

Halim berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat dijadualkan dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka hari ini bagi mengetahui punca kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button