
Pertempuran sengit di Gaza ketika angka korban cecah hampir 24,000
GAZA – Kereta kebal dan pesawat rejim zionis terus membedil kawasan selatan dan tengah Gaza semalam dan berlaku pertempuran senjata sengit di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza.
Perkhidmatan komunikasi dan internet yang terhenti untuk hari ketiga mengakibatkan kerja-kerja kecemasan dan krew ambulans menjadi rumit ketika menghulurkan bantuan kepada orang ramai di kawasan yang dilanda pertempuran.
Pertempuran tertumpu di bandar selatan Khan Younis, di mana Hamas berkata, pejuangnya berjaya memusnahkan atau merosakkan kereta kebal Israel, manakala pihak tentera Israel mendakwa telah membunuh beberapa pejuang di Al-Bureij dan Al Maghazi di tengah Gaza.
Jurucakap sayap bersenjata Hamas, Abu Ubaida, dalam kenayataannya semalam berkata, nasib ramai tebusan Israel yang ditangkap pada 7 Oktober telah tidak diketahui.
Dalam penampilan sulungnya di televisyen selama beberapa minggu, menandakan hari ke-100 sejak meletusnya perang, beliau berkata ramai tebusan “mungkin telah terbunuh”, sambil menyalahkan Israel atas nasib mereka.
Hamas menunjukkan ia mengekalkan kapasiti roket, melancarkan salvo (tembakan serentak meriam atau senjata api) semalam di Ashdod, sebuah bandar Israel 40 km (25 batu) jauhnya dari Gaza.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang laporan mengenai kemalangan jiwa direkodkan.
Abu Ubaida berkata, kumpulan itu telah diberitahu oleh “beberapa pihak dalam barisan penentangan bahawa mereka akan memperluaskan serangan mereka ke atas musuh Israel dalam beberapa hari akan datang,” katanya memetik laporan Reuters.
Tentera Israel berkata, pihaknya telah memusnahkan beberapa silo (ruang bawah tanah untuk menyimpan peluru berpandu) yang digunakan oleh Hamas untuk menembak peluru berpandu ke arah Israel.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, kementerian kesihatan Gaza berkata, 125 orang terbunuh dan 265 cedera, menjadikan jumlah keseluruhan disahkan terbunuh sejak permulaan perang kepada hampir 24,000, dengan lebih 60,000 cedera.
Tentera Israel berkata, ia telah membunuh kira-kira 9,000 pejuang Palestin manakala sebanyak 189 tenteranya telah terkorban sejak melancarkan serangan darat ke atas Gaza.
Bercakap melalui pautan video ke persidangan di Istanbul, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh memuji serangan 7 Oktober oleh pejuang kumpulan pejuang itu yang melancarkan serangan ke kawasan komuniti Israel di sekitar Semenanjung Gaza, membunuh lebih 1,200 orang dan kira-kira 240 menjadi tebusan, menurut pengiraan Israel.
“Kami tidak mahu berperang. Kami mencari kebebasan,” katanya dengan menambah serangan itu adalah sebahagian daripada tindak balas terhadap sekatan Israel dan negara jiran Mesir yang diletakkan di Semenanjung Gaza selepas Hamas menguasai wilayah itu pada 2007.
Tentera Israel berkata, ia telah beralih ke fasa baharu perang selepas fasa awal berpusat untuk ‘membersihkan’ hujung utara termasuk Kota Gaza selesai.
Fasa baharu tersebut kini menumpukan pada hujung selatan wilayah itu, di mana hampir 2 juta orang kini berteduh di khemah dan penginapan sementara yang lain.
Di utara Semenanjung Gaza, pegawai kesihatan berkata, serangan udara Israel membunuh seorang wartawan tempatan, meningkatkan jumlah wartawan yang terbunuh dalam serangan Israel kepada lebih 100, menurut pejabat media kerajaan Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








