Malaysia tidak gentar perjuangkan kebenaran – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak gentar memperjuangkan kebenaran dan menyuarakan solidariti buat rakyat Palestin dan Gaza.
“Malam tadi, rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa berhimpun sebagai satu hati, menyuarakan solidariti buat saudara-saudara kita di Gaza yang terus dizalimi dan dinafikan hak menerima bantuan kemanusiaan.
“Saya amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir dengan jiwa penuh kasih dan keberanian. Mereka datang bukan kerana dipaksa tetapi kerana hati nurani yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan.
“Inilah wajah sebenar Malaysia, bangsa yang berprinsip, berjiwa besar dan tidak rela melihat penindasan bermaharajalela,” kata Anwar melalui hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan, menentang kekejaman rejim Zionis dan menuntut agar bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza.

“Kita juga akan terus membingkai muafakat dengan negara-negara sahabat, dunia Islam dan blok kemanusiaan sejagat dalam merealisasikan misi bantuan serta membuka jalan kepada keamanan yang hakiki.
“Ia demi melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah.
“Selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri sebaliknya suara kita akan terus bergema di jalanan, pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia. Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka!,” tegas Anwar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








