LUAR NEGARA

Gelombang ancaman bom gemparkan ruang udara Eropah

BRUSSELS – Gelombang baharu ancaman bom mencetuskan gangguan terhadap trafik udara di seluruh Eropah, hari ini.

The Guardian bagaimanapun melaporkan, kesemua pesawat yang terjejas berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang penemuan bahan letupan.

Amaran terbaharu itu menjejaskan sekurang-kurangnya 18 penerbangan yang berlepas atau menuju ke Bulgaria, Republik Czech, Perancis, Itali, Hungary, Cyprus, Romania, United Kingdom (UK) dan Portugal.

Insiden berkenaan menyusuli siri ancaman berasingan pada Selasa dan Khamis lalu yang memaksa sekurang-kurangnya 35 penerbangan dilencongkan atau diperiksa pihak berkuasa, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujudnya cubaan terancang untuk mencetuskan kekacauan dalam kalangan pengembara.

Berdasarkan perincian, ancaman terbaharu itu melibatkan sekurang-kurangnya sembilan penerbangan ke dan dari Prague, empat di ruang udara Perancis, dua dalam perjalanan ke Sofia serta satu penerbangan dari Lisbon ke Rom.

Menteri Pertahanan Hungary, Romulusz Ruszin-Szendi menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, tentera udara negara itu terpaksa mengerahkan jet pejuang sebanyak tiga kali bagi mengiringi penerbangan awam yang melalui ruang udaranya.

Dalam pada itu, pihak polis Denmark turut menjalankan siasatan terhadap ancaman yang menyasarkan Lapangan Terbang Copenhagen, namun pihak pengurusan mengesahkan operasi lapangan terbang kekal berjalan seperti biasa.

Menurut agensi kawalan trafik udara, Eurocontrol, penerbangan yang terjejas mewakili peratusan kecil iaitu sekitar 0.0674 peratus daripada keseluruhan 26,709 penerbangan yang dijadualkan di seluruh Eropah, hari ini.

Sementara itu, gelombang ancaman berasingan hari ini turut menyasarkan organisasi media di Ireland sehingga mengganggu operasi penyiaran serta memaksa pemindahan kakitangan bagi membolehkan pihak polis melakukan pemeriksaan di pejabat dan bilik berita.

Perdana Menteri Ireland (Taoiseach), Micheál Martin memberitahu RTÉ Radio 1 bahawa ancaman sedemikian perlu diambil serius kerana ia merupakan cubaan berniat jahat untuk mencetuskan ketakutan dan kebimbangan awam.

“Ia menunjukkan betapa mudahnya gangguan boleh dicetuskan bagi menjejaskan kelancaran operasi masyarakat,” katanya sambil menambah bahawa agensi keselamatan Eropah sedang giat mengenal pasti pihak bertanggungjawab untuk diheret ke muka pengadilan.

Penyiar British, Sky hari ini turut mengesahkan menerima ancaman keselamatan dan telah melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button