LUAR NEGARA

Ahli Kongres gelar Zohran Mamdani ‘jihadis’, dakwa sokong Hamas

NEW YORK – Ahli Kongres Republikan dari New York, Elise Stefanik, mengecam calon Datuk Bandar New York daripada Parti Demokrat, Zohran Mamdani, dengan menggelarnya sebagai “jihadis” dan “antisematik tegar” kerana didakwa menyokong kumpulan militan Hamas.

Stefanik mendakwa Mamdani menyebelahi kumpulan pengganas itu apabila enggan menyeru mereka supaya meletakkan senjata susulan serangan berdarah terhadap orang awam, termasuk warga New York, pada 7 Oktober 2023.

“Saya panggil Zohran Mamdani seorang jihadist kerana itulah dia. Beliau penyokong tegar Hamas yang baru semalam enggan mendesak mereka meletakkan senjata kumpulan sama yang membunuh orang awam termasuk rakyat New York,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Kontroversi itu tercetus selepas Mamdani, yang juga Ahli Dewan Perhimpunan Negeri New York, ditemu bual dalam rancangan “The Story” di Fox News Channel.

Dalam temu bual tersebut, beliau ditanya sama ada Hamas wajar melepaskan kepimpinan di Gaza dan meletakkan senjata.

Bagaimanapun, Mamdani tidak memberikan jawapan jelas, sebaliknya menegaskan pendiriannya bahawa fokus beliau adalah terhadap “keamanan dan keadilan berdasarkan undang-undang antarabangsa.”

Kenyataan itu mengundang kecaman meluas termasuk daripada Ahli Kongres Demokrat Laura Gillen yang melabelnya sebagai “Pro-Hamas Zohran” dan mendakwa beliau “tidak layak memegang sebarang jawatan di Amerika Syarikat.”

Selepas menerima tekanan daripada pelbagai pihak, Mamdani akhirnya memperjelas pendiriannya ketika debat calon Datuk Bandar pada Khamis.

“Sudah tentu saya percaya mereka (Hamas) perlu meletakkan senjata,” katanya bagi menjawab semula dakwaan kononnya beliau menyokong kumpulan tersebut.

Mamdani yang menggambarkan dirinya sebagai seorang “Demokrat Sosialis” di platform media sosial X kini mendahului dalam tinjauan pendapat Fox News bagi pemilihan Datuk Bandar New York.

Sementara itu, Stefanik menegaskan kenyataannya tidak akan ditarik balik dan mendesak Parti Demokrat menjauhkan diri daripada Mamdani yang disifatkannya “tidak layak memimpin mana-mana jawatan awam di Amerika Syarikat.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button