Israel langgar gencatan senjata, Gaza kembali berdarah
TEL AVIV – Ketegangan di Gaza kembali memuncak apabila Israel melancarkan siri serangan udara ke atas beberapa kawasan di Semenanjung Gaza semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk wanita dan kanak-kanak.
Serangan itu dilancarkan selepas Israel mendakwa Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata yang dimediasi Amerika Syarikat (AS).
Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan, Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera melaksanakan “serangan segera dan berkuasa” sebagai tindakan balas.
Menurut Tentera Pertahanan Israel (IDF), anggota Hamas disyaki menyerang pasukan Israel di timur Garisan Kuning iaitu sempadan antara Gaza dan wilayah yang diduduki Israel, menggunakan pelancar bom tangan (RPG) dan penembak tepat.

Serangan berlaku di kawasan Rafah, selatan Gaza, manakala Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi amaran Hamas akan membayar “harga yang tinggi” dan berikrar bertindak “dengan kekuatan besar”.
Di kawasan Al-Sabra, Bandar Gaza, empat mangsa termasuk tiga wanita dilaporkan terbunuh selepas kediaman mereka dibedil. Di Khan Younis pula, lima maut termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, menurut Pasukan Pertahanan Awam Gaza.
Tiga lagi serangan turut dilaporkan berhampiran Hospital Al-Shifa di utara Gaza, kata pengarah hospital, Dr. Mohammed Abu Salmiya.
Hamas bagaimanapun menafikan dakwaan menyerang tentera Israel dan mengecam tindakan Israel sebagai “pengeboman jenayah”, sambil menegaskan komitmen terhadap perjanjian gencatan senjata.
Dalam pada itu, IDF mendakwa memiliki rakaman dron menunjukkan anggota Hamas menanam mayat berbalut kain putih di Bandar Gaza sebelum menemuinya semula di hadapan wakil Palang Merah.
Palang Merah menyifatkan tindakan itu sebagai “tidak boleh diterima” kerana menjejaskan kepercayaan terhadap pelaksanaan gencatan.
Hamas kemudian menangguhkan penyerahan mayat tebusan, mendakwa Israel terlebih dahulu melanggar syarat perjanjian.
Mayat berkenaan sepatutnya diserahkan melalui Palang Merah selepas ditemui di Khan Younis dan Nuseirat, kawasan tengah Gaza yang menjadi lokasi operasi menyelamat Israel pada Jun 2024, yang meragut lebih 270 nyawa rakyat Palestin.
Naib Presiden AS, JD Vance menegaskan gencatan senjata masih berkuat kuasa walaupun pertempuran kecil terus berlaku.
Insiden terbaharu ini sekali lagi menandakan kegagalan usaha damai di Asia Barat, dengan kebimbangan meningkat terhadap risiko korban awam serta kesan terhadap diplomasi AS dalam mengekalkan keamanan serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








