LUAR NEGARA

Israel berikrar bunuh pemimpin Hamas terselamat dalam serangan di Qatar

WASHINGTON – Seorang pegawai kanan Israel memberi amaran bahawa pemimpin Hamas yang terselamat dalam serangan udara di Doha baru-baru ini tidak akan dilepaskan, sebaliknya bakal menjadi sasaran pada serangan seterusnya.

Duta Israel ke Amerika Syarikat (AS), Yechiel Leiter, menegaskan bahawa operasi ketenteraan tersebut adalah usaha untuk “menghapuskan musuh keamanan dan tamadun Barat”.

“Jika kami gagal kali ini, kami akan berjaya pada serangan berikutnya. Israel tidak akan berhenti selagi kepimpinan Hamas tidak dimusnahkan sepenuhnya,” memetik.laporan Fox News.

Serangan pada 9 September lalu menyasarkan kepimpinan tertinggi Hamas di ibu negara Qatar ketika rundingan gencatan senjata sedang berlangsung.

Insiden itu mengorbankan lima anggota Hamas termasuk anak kepada ketua rundingan, Khalil al-Hayya, serta seorang anggota keselamatan Qatar.

Namun, beberapa tokoh utama Hamas dilaporkan terselamat, antaranya Suhail al-Hindi dan Khaled Meshal.

Kerajaan Qatar mengecam tindakan Israel itu sebagai “serangan pengecut” dan melabelnya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, memberi amaran bahawa tindakan unilateral Israel berisiko menggagalkan usaha damai yang dimediasi oleh Doha.

Presiden AS Donald Trump turut melahirkan rasa tidak puas hati, menyifatkan tindakan Israel itu tidak membantu rundingan damai yang telah diusahakan hampir dua tahun.

Israel bagaimanapun mempertahankan tindakannya dengan mendakwa pemimpin Hamas yang disasarkan bertanggungjawab secara langsung terhadap serangan pada 7 Oktober 2023 serta konflik berterusan di Gaza.

Ketegangan di rantau itu kini semakin memuncak dengan kebimbangan serangan susulan mampu mencetuskan konflik lebih besar sekali gus menjejaskan proses diplomatik yang sedang berjalan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button