Permohonan pembiayaan TEKUN kini boleh dibuat secara dalam talian
KUALA LUMPUR – Usahawan yang layak di seluruh negara kini boleh membuat permohonan pembiayaan TEKUN Nasional secara dalam talian menerusi Sistem Permohonan TEKUN Online yang dilancarkan secara rasmi hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sistem berkenaan membolehkan usahawan mendaftar akaun, melengkapkan maklumat peribadi dan perniagaan, memuat naik dokumen serta menghantar permohonan tanpa perlu hadir ke pejabat cawangan TEKUN Nasional.
Menurut beliau, projek rintis Sistem Permohonan TEKUN Online telah dimulakan di Kuala Lumpur sejak Julai lalu sebelum diperluaskan ke beberapa negeri lain.
“Setakat ini, sebanyak 1,624 usahawan telah membuat permohonan secara dalam talian. Daripada jumlah itu, 215 permohonan bernilai RM6.6 juta telah diluluskan.
“Hari ini, selepas melalui fasa rintis, kita melancarkan Sistem Permohonan TEKUN Online secara rasmi untuk semua usahawan yang layak di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem Permohonan TEKUN Online di sini hari ini.
Steven Sim berkata, pelancaran sistem tersebut merupakan satu pencapaian penting kerana ia kali pertama permohonan pembiayaan TEKUN dilaksanakan secara dalam talian dalam sejarah hampir 30 tahun agensi berkenaan.
Menurutnya, kerajaan bukan sahaja memberi perhatian kepada jumlah pembiayaan yang disalurkan kepada usahawan, malah mahu memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa dipertingkatkan selaras dengan keperluan semasa.
“Secara keseluruhan bagi tahun 2026, TEKUN Nasional telah menyalurkan lebih RM700 juta kepada hampir 31,000 usahawan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 13,283 usahawan atau 43 peratus merupakan penerima pembiayaan kali pertama melibatkan nilai hampir RM260 juta,” katanya lagi.
Beliau berkata, sejak menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), usaha mengurangkan kerenah birokrasi menjadi antara fokus utama bagi memastikan usahawan tidak dibebani proses yang panjang dan rumit.
“Selain memperkenalkan permohonan secara dalam talian, TEKUN turut menambah baik beberapa prosedur sedia ada termasuk memendekkan tempoh pemprosesan permohonan,” katanya lagi.
“Tempoh proses permohonan pembiayaan TEKUN bagi nilai di bawah RM100,000 kini dipendekkan kepada hanya tujuh hari berbanding kira-kira 30 hari sebelum ini.
“Daripada hampir 31,000 pembiayaan yang diluluskan tahun ini, sebanyak 74.5 peratus diluluskan dalam tempoh satu hingga lima hari, manakala hampir 20 peratus lagi diluluskan dalam tempoh enam hingga 10 hari,” katanya lagi.
Tambah beliau, di bawah pelan rekayasa kerenah birokrasi KUSKOP, TEKUN kini menyasarkan untuk memendekkan lagi tempoh kelulusan dan penyaluran pembiayaan kepada hanya lima hari.
Beliau turut berkata, TEKUN turut menyediakan kemudahan pra-kelulusan pembiayaan sehingga RM20,000 dalam tempoh 24 jam sempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia yang diadakan di Johor dan Melaka.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan membantu usahawan mikro mendapatkan modal pusingan dengan lebih cepat bagi mengembangkan perniagaan mereka.
“Sekarang ini, TEKUN Nasional sedang bergerak ke arah menjadikan pra-kelulusan dalam tempoh 24 jam sebagai salah satu sasaran perkhidmatan secara berterusan.
“Bagi usahawan kecil, setiap hari yang dapat dijimatkan sangat bermakna. Lebih cepat mereka mendapat akses kepada modal, lebih cepat mereka boleh membeli stok, mendapatkan peralatan dan mengembangkan perniagaan,” katanya lagi.
Pada majlis sama, TEKUN Corporation Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan komersial termasuk pengurusan kredit dan pemulihan hutang, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS).
Kerjasama itu akan meneroka peluang dalam bidang perladangan kelapa sawit, hospitaliti, penginapan resort, dewan bankuet, hartanah serta pelaburan jangka panjang.
Selain itu, TEKUN Corporation turut menandatangani kontrak perkhidmatan pengurusan dan pemulihan kredit bernilai hampir RM70 juta bersama MOCCIS yang merupakan antara koperasi terbesar di negara ini.
Steven berkata, kerjasama tersebut membuktikan bagaimana syarikat di bawah agensi kerajaan dan gerakan koperasi mampu bergabung kepakaran bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih mampan, berdaya tahan dan kompetitif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








