BERITA SEMASA

Pelawat ke Indonesia wajib isi borang digital mulai 1 September

JOHOR BAHRU – Semua pelawat asing termasuk rakyat Malaysia yang memasuki Indonesia diwajibkan mengisi borang kemasukan secara digital melalui aplikasi atau laman sesawang All Indonesia bermula Isnin ini.

Konsul Jeneral Indonesia di Johor Bahru, Sigit Suryantoro Widiyanto berkata, borang digital itu merangkumi maklumat perjalanan, kesihatan dan deklarasi kuarantin yang perlu dihantar tiga hari sebelum ketibaan di negara tersebut.

“Sistem ini akan mula digunakan di sembilan pintu masuk utama, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta dan Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya serta tujuh pelabuhan besar di seluruh negara,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menurut beliau, sistem baharu itu menggantikan tiga borang berasingan sebelum ini, selaras usaha kerajaan Indonesia memodenkan pengurusan sempadan selain menyokong sektor pelancongan.

“Perkhidmatan berkenaan juga akan diperluaskan ke semua pintu masuk lain secara berperingkat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Sigit turut mendedahkan kegiatan sindiket penyeludupan yang menggunakan media sosial untuk menawarkan perjalanan haram antara Indonesia dan Malaysia.

“Kami dapati sindiket ini menggunakan video serta muzik menarik untuk mempromosikan perjalanan secara tidak sah.

“Harga tambang antara Kepulauan Riau dan Johor Bahru sekitar RM896 hingga RM1,024, manakala dari Johor ke Batam mencecah RM1,200 hingga RM1,500,” katanya lagi.

Beliau berkata, sindiket berkenaan kerap mengubah iklan mereka untuk mengelak tindakan pihak berkuasa Indonesia, malah musim puncak perjalanan haram itu berlaku sebelum dan selepas Aidilfitri.

Menurutnya, ramai mangsa menjadi korban penipuan selepas membuat bayaran kepada sindiket terbabit, selain risiko tragedi bot karam yang pernah meragut nyawa sebelum ini.

“Sekarang mereka membawa kumpulan kecil antara 15 hingga 20 orang dengan menyediakan jaket keselamatan untuk mengurangkan risiko, berbanding sebelum pandemik Covid-19 apabila setiap bot membawa 50 hingga 60 orang,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, pihak konsulat kini turut menggunakan platform media sosial seperti TikTok untuk memberi peringatan kepada rakyat Indonesia agar tidak terjebak dengan tawaran sindiket tersebut, selain berharap dapat bekerjasama dengan agensi Malaysia bagi menurunkan iklan haram di media sosial tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button