Indonesia juara Piala ASEAN FIFA 2026, tewaskan Thailand menerusi penalti
JAKARTA – Indonesia muncul juara Piala ASEAN FIFA 2026 selepas menewaskan Thailand 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Gelora Bung Karno, di sini malam tadi.
Kemenangan itu hadir selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat masa tambahan, sebelum skuad Garuda memastikan kejuaraan memihak kepada mereka menerusi penentuan dari jarak 12 ela.
Thailand terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-81 selepas Nicholas Mickelson dilayangkan kad kuning kedua sebelum menerima kad merah.
Kelebihan pemain dimanfaatkan Indonesia tiga minit kemudian apabila Dean James meledak menerusi sepakan percuma pada minit ke-84 untuk meletakkan tuan rumah di depan.
Bagaimanapun, Thailand bangkit dengan pantas apabila Iklas Sanron menyamakan kedudukan pada minit ke-87, sebelum Peeradol Chamrasamee meletakkan skuad Gajah Perang di depan menerusi gol pada minit ke-111.
Ketika kemenangan Thailand seakan-akan berada dalam genggaman, Elkan Baggott muncul sebagai penyelamat Indonesia apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-116, sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Dalam penentuan itu, Shayne Pattynama, Elkan Baggott, Dean James dan Kevin Diks tenang menyempurnakan sepakan masing-masing untuk memastikan Indonesia menang 4-2.
Dua pemain Thailand, Nattapong Sayriya dan Sarach Yooyen, gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing, sekali gus menyaksikan impian skuad Gajah Perang untuk merangkul kejuaraan tidak kesampaian.
Sementara itu, skuad Harimau Malaya menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi yang turut berlangsung pada kejohanan yang julung kali dianjurkan di Jakarta itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








