TransNusa mula penerbangan sulung ke Malaysia, Pulau Pinang jadi pintu masuk
PULAU PINANG – Ketibaan penerbangan sulung TransNusa dari Jakarta pada pagi ini membuka lembaran baharu hubungan udara antara Indonesia dan Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pintu masuk utama pelancong rantau ini.
Penerbangan menggunakan pesawat Airbus A320 berkapasiti 174 tempat duduk itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta pada pukul 5 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sekitar pukul 8.30 pagi.
Perkhidmatan laluan Jakarta–Pulau Pinang itu kini beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Jumaat sebelum beralih kepada penerbangan harian bermula Disember ini.
Penerbangan pulang (PEN–CGK) pula dijadualkan berlepas pada pukul 9.30 pagi dengan tempoh perjalanan sekitar satu jam 25 minit.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung, menyifatkan kemasukan TransNusa sebagai langkah strategik yang membuka lebih banyak pilihan laluan udara kepada pelancong asing.
“Laluan ini bukan sahaja memperkukuh mobiliti penumpang bagi tujuan pelancongan, perubatan, perniagaan dan MICE malah mendekatkan hubungan antara Pulau Pinang dan Jakarta. Dengan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang bakal bermula tidak lama lagi, laluan ini dijangka menjadi pemangkin penting pergerakan pelancong kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan oleh Tourism Malaysia hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis berkata, laluan baharu itu merupakan sebahagian strategi peluasan operasi syarikat penerbangan tersebut.
“Ia selari dengan tumpuan kami terhadap hab-hab utama yang menawarkan sambungan luas kepada penumpang. Program insentif jangka panjang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) juga menjadi faktor utama yang mempercepatkan pelancaran laluan ini. Dengan sokongan Tourism Malaysia dan PIA, semuanya direalisasikan dalam tempoh kurang enam bulan,” ujarnya.
Indonesia terus menjadi pasaran pelancongan terbesar bagi Malaysia. Pada 2024, negara ini menerima lebih 4.15 juta pelawat dari Indonesia dengan peningkatan 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dari Januari hingga Ogos 2025, seramai 2.92 juta pelancong Indonesia direkodkan memasuki Malaysia, mencerminkan minat kukuh terhadap destinasi tempatan.
Sempena VM2026, TransNusa dan Tourism Malaysia turut memperkukuh usaha promosi bersama termasuk membawa lebih 30 ejen pelancongan dari Jakarta menyertai persidangan VM2026 bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi percutian, budaya dan pelancongan perubatan.
Sokongan daripada Penang Global Tourism (PGT) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) turut mengukuhkan lagi peranan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan serantau.
Pelancaran laluan Jakarta–Pulau Pinang bukan sekadar menambah pilihan perjalanan malah mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Indonesia dalam memperkukuh hubungan dua hala, meningkatkan konektiviti serta merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








