TPM ke Indonesia, perkukuh jalinan kerjasama antara negara
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Indonesia bagi memperkukuh hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri di Kementerian Agama Republik Indonesia, Prof. Dr. Nasaruddin Umar dan Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.
Lawatan itu katanya adalah langkah penting dalam menyemarakkan komitmen kedua-dua negara terhadap pertumbuhan, kemakmuran dan kerjasama strategik yang berterusan pada masa hadapan.
“Sepanjang lawatan ini, saya akan mengadakan perbincangan dengan para pemimpin Indonesia bagi meneroka peluang baharu dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelancongan, pertukaran budaya, industri halal, pengurusan bencana dan pembangunan luar bandar.
“Saya yakin kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara akan membawa manfaat besar kepada rakyat, sekali gus mencerminkan usaha kita mengukuhkan pengaruh kolektif ASEAN di peringkat global,” katanya dalam kenyataan dikongsikan beliau di Facebooknya.
Sementara itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka.
“Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijangka membincangkan serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan yang memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); industri halal; pembangunan luar bandar; serta pengurusan bencana,” menurut kenyataan itu.
Ahmad Zahid akan turut menyaksikan pertukaran tiga Surat Niat yang merangkumi dua kerjasama TVET, antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kerajaan Provinsi Daerah Khusus Ibukota Jakarta (DKI Jakarta) serta antara UniKL dan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat dan satu MoU antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat yang memfokuskan kepada pendidikan tinggi.
Sebagai sebahagian daripada aturcara lawatan, Ahmad Zahid juga akan melawat Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB) dan Pusat Operasi Kecemasan di Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).
Selain itu, beliau dijadual menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Indonesia, serta merasmikan majlis pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 yang akan berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















