TPM mahu modul pendidikan TVET dibawa masuk ke PUSPEN
DENGKIL – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya semua modul pendidikan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara ditransformasikan kepada modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan penghuni yang menamatkan pemulihan mempunyai kemahiran tinggi serta peluang pekerjaan terjamin.
Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, beliau berkata langkah itu akan memberi peluang kedua kepada bekas penghuni untuk membina kehidupan baharu dan mencegah mereka daripada kembali terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

“Apabila mereka tamat latihan, mereka boleh terjun dalam bidang yang mereka ikuti. Mana-mana yang berminat menjadi usahawan, saya akan bincang dengan SME untuk menyediakan peruntukan bagi kursus tersebut,” katanya ketika berucap sempena Program Lawatan Kerja ke PUSPEN Dengkil, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Membanteras Dadah Kebangsaan turut memuji komitmen pelbagai pihak termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara Malaysia dalam menangani masalah dadah.
Beliau turut menghargai inisiatif Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang membawa peralatan gimnasium ke PUSPEN Dengkil tanpa arahan rasmi di samping menyeru syarikat swasta atau pengusaha gim menyumbang peralatan yang boleh dibaik pulih bagi kegunaan penghuni pusat.
Menurutnya lagi, PUSPEN perlu dilihat sebagai ‘rumah harapan baharu’ dan bukannya pusat hukuman dengan pendekatan pemulihan yang bersasar serta penerapan nilai agama bagi membuka pintu taubat.

“Pintu rezeki juga mesti dibuka oleh pihak swasta. Saya percaya mereka akan menjadi pekerja yang baik. Kita mesti memecahkan tembok stigma supaya bekas penghuni dapat diterima masyarakat dan menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan visi Kerajaan MADANI yang mahu menyantuni setiap rakyat tanpa ada yang terpinggir, termasuk mereka yang menjalani pemulihan dadah demi memutuskan rantaian kemiskinan dan jenayah berkaitan penagihan.
Turut hadir pada majlis tersebut Hannah; Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh dan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Superintendan Norhizam Bahaman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








