BERITA SEMASA

TPM ucap tahniah anak muda TVET sumbang 13 emas di WorldSkills ASEAN 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia melakar pencapaian cemerlang di pentas antarabangsa apabila anak muda negara berjaya merangkul 13 pingat emas dalam pertandingan WorldSkills ASEAN Manila 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu turut disertai dengan kejayaan meraih empat pingat perak, tiga gangsa dan dua medallion for excellence melalui penglibatan peserta dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).

“Alhamdulillah, satu berita yang cukup membanggakan sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini di mana anak-anak muda kita telah menghadiahkan Malaysia dengan kilauan emas di pentas WorldSkills ASEAN Manila 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara turut menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah paling bermakna sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-68 yang disambut hari ini.

“Hadiah yang membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar melahirkan insan berjiwa merdeka, tetapi juga insan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia untuk memimpin masa depan,” ujarnya.

Menurut beliau, kemenangan tersebut membuktikan generasi muda negara bukan sahaja memiliki kemahiran tinggi, malah daya juang dan keyakinan untuk bersaing dengan yang terbaik di rantau ini.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta, jurulatih dan institusi, selain menyifatkan mereka adalah kebanggaan negara.

“Semoga kejayaan ini terus menjadi pembakar semangat untuk lebih ramai anak muda mengejar kecemerlangan dalam bidang TVET serta menjadikan Malaysia terus gemilang di pentas dunia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button