BERITA SEMASA

Kerajaan teliti kaedah terbaik bawa pulang rakyat Malaysia sertai misi GSF

SEPANG – Kerajaan sedang meneliti kaedah terbaik bagi membawa pulang 34 rakyat Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza sebaik sahaja misi kemanusiaan itu selesai.

Sidang video Ahmad Zahid bersama 34 peserta Global Sumud Flotilla dari Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan diperinci bersama beberapa kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan semua peserta terjamin.

“Saya akan berhubung dengan Menteri Luar yang kini berada di New York mewakili Malaysia dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan turut berbincang dengan Datuk Seri Khaled Nordin (Menteri Pertahanan) mengenai kaedah terbaik kerajaan dapat membantu.

“Tadi saya juga berbincang dengan Datuk Sani (CEO Mapim) mengenai langkah membawa pulang 34 rakyat Malaysia sebaik sahaja misi selesai.

“Kita akan perincikan bentuk bantuan yang akan diberikan nanti, Insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas menghubungi kesemua sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan juga berharap masyarakat antarabangsa memberikan sokongan terhadap misi berkenaan yang disertai 45 negara.

Katanya, 34 sukarelawan Malaysia wajar dianggap wira dan wirawati kerana keberanian mereka berlayar jauh ke Gaza walaupun berdepan ugutan, ancaman serta serangan bom melalui dron.

“Alhamdulillah mereka tidak gentar. Marilah kita bersama-sama berdoa agar misi ini berjaya. Kita harap semua media sama ada elektronik, cetak mahupun media sosial terus memberi liputan sebaik-baiknya kerana mereka adalah wira negara yang harus disokong sepenuhnya,” katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan peguam yang bersedia memberikan nasihat perundangan sekiranya timbul masalah berkaitan tindakan agresif Israel, serta NGO khususnya di bawah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang memantau perkembangan misi ini sepanjang masa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button