Gerakan mahu PN guna satu logo jika penggantungan berlarutan
KUALA LUMPUR – Gerakan mahu semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) menggunakan satu logo yang seragam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya penggantungan gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berlarutan.
Presidennya, Dominic Lau berkata, keputusan mengenai logo perlu dibuat secara bersama oleh pimpinan parti komponen PN, dengan mengambil kira penerimaan pengundi serta aspek perundangan.
“Kita rasa perlu guna satu logo yang seragam… tapi kalau guna logo seragam, nak guna logo siapa? Yang ini semua akan bincangkan,” katanya pada sidang media.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, logo yang dipilih perlu boleh diterima masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya selain tidak menimbulkan masalah dari sudut perundangan dengan JPPM.
“Kita perlu guna logo nasional, logo itu mesti boleh diterima oleh pengundi pelbagai kaum, agama dan budaya.
“Bendera ini juga mestilah yang kurang menimbulkan masalah… bendera parti mana yang paling selamat, boleh digunakan, dan ada peluang menang yang tinggi,” katanya.
Dominic turut menepis cadangan supaya mana-mana parti komponen bertanding menggunakan logo berbeza, susulan laporan mengenai keterbukaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk membincangkan kemungkinan PAS menggunakan simbol dacing.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN dan PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti komponen PN boleh menggunakan lambang PAS pada PRN Melaka sekiranya penggantungan PN berterusan, manakala Bersatu diminta menggunakan lambangnya sendiri.
JPPM menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September lalu susulan aduan Bersatu. Bagaimanapun, JPPM menjelaskan tindakan itu bukan pembatalan pendaftaran PN dan gabungan berkenaan diberikan tempoh munasabah untuk memberikan penjelasan berhubung aduan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








