PRN Melaka: Gabungan parti diserah kepada kebijaksanaan Ketua Menteri, Presiden UMNO – Tuminah
KUALA LUMPUR – Soal gabungan parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang wajar diserahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi@Mohd Hashim berkata, sebarang keputusan berkaitan gabungan parti perlu ditentukan oleh pucuk pimpinan kerana mereka mempunyai pertimbangan dan maklumat lebih menyeluruh bagi memastikan keputusan yang dibuat memberi manfaat terbaik kepada rakyat Melaka.
“Bagi gabungan antara parti, pada saya, saya serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri Melaka dan juga Presiden UMNO.
“Kita sebagai wakil rakyat mengikut. Dalam satu pertubuhan kepimpinan, apa pun gabungan ‘plus-plus’ ini mesti diputuskan oleh pihak pucuk pimpinan sebab mereka lebih tahu dan lebih mendalami.
“Mereka akan membuat kajian yang terbaik untuk rakyat Melaka. Jadi kita serahkan kepada Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui pada program Melaka Showcase 2026 di Medan MARA, di sini hari ini.
Tuminah berkata demikian ketika mengulas persiapan menghadapi kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Menurutnya, wakil rakyat ketika ini perlu lebih mendekati rakyat bagi menjelaskan manfaat serta pencapaian yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh empat tahun mereka berkhidmat.
“Untuk negeri Melaka, semua orang tahu bila-bila masa DUN akan dibubarkan. Sudah semestinya waktu sekarang ini, wakil-wakil rakyat negeri Melaka mesti lebih mendekati rakyat.
“Pertama dari segi apa manfaat yang rakyat terima dan juga apa yang telah kita laksanakan sepanjang empat tahun menjadi wakil rakyat,” katanya.
Mengulas prestasi di DUN Pantai Kundor, Tuminah berkata, kesemua 10 manifesto yang dibawanya pada 2022 telah berjaya dilaksanakan, dengan hanya satu perkara berkaitan pembinaan dan penyusunan gerai peniaga masih dalam proses.
Katanya, perkara itu masih menunggu kerja penambakan pantai di Pantai Puteri yang dijangka selesai dalam tempoh kira-kira sebulan lagi.
“Selepas selesai, kita nakkan pasir pantai itu mampat dan kalau tengok sekarang ia agak bersepah sedikit kerana Pantai Puteri memang satu kawasan tumpuan pelancong.
“Selepas tambak selesai, baru kita susun balik peniaga,” katanya.
Beliau berkata, perancangan penyusunan semula gerai itu sudah tersedia di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), namun pelaksanaannya hanya boleh diteruskan selepas kerja penambakan pantai selesai.
Tuminah berkata, pencapaian manifesto berkenaan penting kerana rakyat akan menilai sejauh mana wakil rakyat melaksanakan janji serta membawa suara masyarakat setempat.
“Bagi saya, apa pun manifesto yang kita bawa, itu yang rakyat akan tanya.
“Alhamdulillah, bagi saya kita sudah laksanakan, cuma penyusunan itu mengambil masa. Tetapi perancangan sudah ada di PBT. Jadi tinggal untuk dilaksanakan sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terus memberikan sokongan bagi membolehkannya meneruskan perancangan yang masih dalam proses pelaksanaan di kawasan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








