POLITIK

Tarikh PRN Melaka belum ditetapkan – Ab Rauf

MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum ditetapkan.

Ab Rauf berkata, tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang hanya akan berakhir pada 30 November, sehubungan itu PRN akan diadakan dalam tempoh enam bulan ini, lapor SH Online.

“Saya sudah katakan PRN tetap akan berlaku pada tahun ini, tetapi tarikhnya bila saya belum dapat ilham lagi. Minta bersabar.

“Tarikh saya tak boleh beritahu sekarang, nanti bergegar Malaysia,” katanya ketika Program Moreh bersama pengamal media Melaka, di sini malam tadi.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan DAP Melaka supaya PRN tersebut dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU), Ab Rauf berkata, keputusan mengenainya belum diputuskan.

“Sesiapa sahaja boleh mengemukakan cadangan, namun keputusannya tidak ada,” jelas beliau.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mencadangkan supaya PRN dan PRU diadakan secara serentak susulan negara bakal berdepan lima pilihan raya utama dalam tempoh 18 bulan.

Ia membabitkan PRN Melaka, diikuti Sarawak, Johor pada Mac tahun depan, PRU pada Disember 2026 dan seterusnya PRN di enam negeri.

Poay Tiong berkata, pilihan raya yang diadakan secara berasingan akan melibatkan perbelanjaan lebih tinggi selain mengganggu tumpuan terhadap ekonomi dan pembangunan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button