PRN Melaka: PN sahkan bertanding semua 28 kerusi DUN
MELAKA – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu kini sedang memperkukuh jentera pilihan raya di setiap peringkat sebagai persediaan menghadapi saingan PRN.
Menurut beliau yang juga Presiden BERSATU, rundingan pembahagian kerusi bersama parti-parti komponen akan dimuktamadkan bagi memastikan strategi terbaik dapat disusun untuk meraih kemenangan.
“Semua orang boleh menawarkan diri untuk bertanding, tetapi kita mahukan tokoh yang mempunyai keperibadian dan pekerja yang baik, mempunyai pengalaman serta dekat dengan penduduk,” katanya memetik laporan Bernama pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BERSATU Melaka di Klebang malam tadi.
Beliau berkata, PN kini berada dalam keadaan bersedia menghadapi pilihan raya dengan jentera di semua peringkat sedang diperkukuhkan, manakala ketua-ketua bahagian BERSATU diminta mengemukakan nama calon yang layak untuk dipertimbangkan.
Katanya, pemilihan calon akan dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk keperibadian dan integriti yang baik, rekod kerja cemerlang, pengalaman serta hubungan rapat dengan masyarakat setempat.
Beliau turut memaklumkan PN akan meneruskan rundingan dengan parti lain yang berminat bekerjasama menjelang PRN Melaka, dengan sebarang pembahagian kerusi diputuskan menerusi rundingan bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








