POLITIK

Ahli Parlimen BERSATU gesa Muhyiddin letak jawatan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatan kerana beliau didakwa telah kehilangan kualiti kepimpinan yang pernah dimilikinya.

Menurut NST, Saifuddin mendakwa, Muhyiddin tidak lagi menunjukkan ciri kepimpinan berasaskan adab, ilmu dan kemahiran seperti yang ditonjolkan ketika beliau menubuhkan parti itu dahulu.

“Pokoknya, beliau (Muhyiddin) sudah kehilangan kualiti kepimpinannya. Beliau bukan lagi Tan Sri Muhyiddin yang kita kenali dulu,” katanya dalam laporan tersebut.

Saifuddin turut mengesahkan beliau bersama beberapa ahli BERSATU lain telah mengeluarkan kenyataan menggesa Muhyiddin supaya berundur.

Beliau kemudian turut mempersoalkan cara Muhyiddin menguruskan kepimpinan tertinggi parti, yang disifatkannya tidak lagi inklusif, termasuk kegagalan memanggil mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Beliau tidak memanggil mesyuarat, jadi bagaimana kita hendak berbincang apa-apa? Kalau menantu sendiri pun tidak dapat ditemui, bagaimana kami hendak jumpa beliau?” soal Saifuddin.

Selain menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan, Saifuddin turut mendesak dua pemimpin kanan parti iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz supaya turut berundur.

Beliau mendakwa, sebagai Setiausaha Agung BERSATU, Azmin yang dilantik semula ke jawatan itu, perlu menyelesaikan dua isu utama yang menjejaskan kredibilitinya.

“Azmin berdepan dua masalah. Pertama, beliau perlu menjelaskan isu video skandalnya. Kedua, beliau terlalu bersikap autokratik. Contohnya, baru-baru ini beliau mengeluarkan surat yang sangat bersifat drakonian,” katanya.

Saifuddin juga mendakwa Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal, gagal menjalankan tugas menyebarkan maklumat parti, sebaliknya bertindak lebih seperti “ketua provokator”.

Saifuddin menegaskan bahawa gesaannya bersama beberapa pemimpin lain bukan bertujuan menjatuhkan parti, sebaliknya untuk “menyelamatkan BERSATU daripada terus rosak akibat kepimpinan sedia ada.”

“Apa yang kami lakukan ini tidak melanggar perlembagaan parti. Kami bukan mahu memalukan parti, tetapi menyelamatkannya daripada mereka yang sedang mencemarkan imejnya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button