RENCANA

KPTM 23 tahun: Daripada institusi pendidikan kepada ekosistem pendidikan lebih berdaya saing

MEMASUKI usia 23 tahun penubuhan Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB), perjalanan KPTM hari ini mencerminkan transformasi sebuah institusi pendidikan yang terus berkembang seiring perubahan keperluan masyarakat, industri dan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali berkata, usia 23 tahun KPTM bukan sekadar mengukur tempoh penubuhan organisasi, sebaliknya merupakan sebahagian daripada perjalanan ekosistem pendidikan yang bermula sejak 1983.

kptm
Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali.

Perjalanan tersebut melalui beberapa fasa penting termasuk penubuhan KPTM Sdn Bhd pada 2003, pengembangan kampus dan program pengajian, penubuhan KUPTM pada 2015 dan seterusnya peningkatan KUPTM menjadi Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) pada 2023.

Hari ini, ekosistem KPTM merangkumi sebuah universiti, enam kampus KPTM, 55 program pengajian merentasi lapan fakulti, 1,786 warga kerja dan 34,049 pelajar, selain telah melahirkan lebih 83,000 graduan.

“Namun, angka-angka ini bagi saya bukan sekadar statistik. Di sebalik setiap angka itu ada manusia, ada keluarga dan ada kehidupan yang berubah melalui peluang pendidikan yang disediakan.

“23 tahun KPTM adalah cerita tentang bagaimana sebuah institusi berkembang, tetapi lebih penting, ia adalah cerita tentang bagaimana pendidikan membuka peluang dan mengubah kehidupan,” katanya.

Berkembang seiring keperluan masyarakat, negara

Radzuan berkata, perkembangan KPTM daripada empat kampus pada peringkat awal kepada enam kampus KPTM dan sebuah universiti berlaku seiring dengan perubahan landskap pendidikan, industri dan pasaran pekerjaan.

Katanya, KPTM perlu terus menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut melalui pengembangan kampus, peluasan bidang pengajian serta pembangunan laluan pendidikan yang lebih pelbagai.

Enam kampus KPTM kini beroperasi di Bangi, Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Kota Bharu dan Batu Pahat, selain UPTM di Kuala Lumpur.

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa KPTM sentiasa cuba mendekati keperluan pelajar dan menyediakan lebih banyak pilihan pendidikan.

“Tetapi kita tidak mahu berkembang hanya untuk menjadi lebih besar. Setiap perkembangan mesti membawa nilai dan impak yang lebih besar kepada pelajar, industri dan masyarakat,” katanya.

Program pengajian perlu sentiasa relevan

Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, KPTM turut memberi penekanan kepada kerelevanan program pengajian dengan keperluan industri dan masa depan pekerjaan.

Radzuan berkata, jumlah program yang ditawarkan bukan satu-satunya ukuran kejayaan sesebuah institusi, sebaliknya program perlu sentiasa dinilai dari aspek keperluan industri, kemahiran yang dikuasai pelajar serta keupayaan graduan untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin global.

kptm
Perkembangan KPTM daripada empat kampus pada peringkat awal kepada enam kampus KPTM dan sebuah universiti berlaku seiring dengan perubahan landskap pendidikan, industri dan pasaran pekerjaan.

Perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) turut menjadikan keperluan tersebut semakin penting, dengan KPTM perlu memastikan kurikulum, pendekatan pembelajaran dan kemahiran yang diberikan kepada pelajar bergerak seiring perubahan dunia pekerjaan.

Pada masa sama, hubungan dengan industri serta rakan akademik antarabangsa akan terus diperkukuh bagi memberikan pendedahan yang lebih luas kepada pelajar.

“Kita tidak mahu melahirkan graduan untuk pekerjaan hari ini sahaja. Kita mahu menyediakan mereka untuk pekerjaan dan cabaran yang mungkin wujud pada masa hadapan,” katanya.

Kampus Cyberjaya perkukuh agenda pendidikan antarabangsa

Langkah terbaharu KPTM dalam memperkukuh penawaran pendidikan bertaraf antarabangsa diteruskan menerusi pembukaan Kampus Cyberjaya dan pengambilan pelajar bagi sesi Januari 2027 untuk program Bachelor of Arts (Honours) in Accounting and Finance (BAAF) bersama Dublin Business School (DBS).

Kerjasama antara KPTM dan DBS telah terjalin sejak 2013 dan kini memasuki fasa baharu melalui pelaksanaan program BAAF menggunakan konsep Mirror Programme.

kptm
Perjalanan KPTM hari ini mencerminkan transformasi sebuah institusi pendidikan yang terus berkembang seiring perubahan keperluan masyarakat, industri dan negara. – Foto KPTM

Melalui pendekatan tersebut, pelajar berpeluang mengikuti program bertaraf antarabangsa di Malaysia, sekali gus memberikan pilihan serta fleksibiliti yang lebih luas dalam mendapatkan pendidikan berorientasikan global.

Menurut Radzuan, Kampus Cyberjaya turut dilihat sebagai hab baharu bagi penawaran program antarabangsa, khususnya dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan yang mempunyai pendedahan global serta memenuhi keperluan industri.

“Bagi KPTM, ini bukan sekadar pembukaan sebuah kampus baharu. Ia adalah simbol kepada arah yang kita mahu tuju iaitu lebih terbuka kepada kerjasama global, lebih dekat dengan industri dan lebih bersedia memenuhi keperluan generasi akan datang,” katanya.

23 tahun bukan garis penamat

Mengimbas perjalanan KPTM, Radzuan berkata asas yang dibina sepanjang 23 tahun perlu menjadi landasan untuk institusi melangkah ke tahap yang lebih tinggi.

Dengan lebih 83,000 graduan, lebih 34,000 pelajar, 1,786 warga kerja, enam kampus KPTM dan sebuah universiti, fokus KPTM bagi dekad akan datang adalah untuk terus memperkukuh kebolehpasaran graduan, memperluas kerjasama industri dan antarabangsa, memanfaatkan teknologi serta AI, selain membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak-anak Malaysia.

“23 tahun adalah pencapaian yang kita syukuri, tetapi ia bukan garisan penamat. Ia adalah titik permulaan untuk kita membina KPTM yang lebih berdaya saing, lebih berimpak dan lebih bersedia untuk masa depan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai kptm, layari www.kptm.edu.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button