Tapir seberat 250kg sesat masuk kelab golf di Kerteh
KEMAMAN – Kemunculan seekor tapir jantan seberat kira-kira 250 kilogram di kawasan Kelab Golf dan Rekreasi Petronas, Kerteh, di sini, mencetuskan suasana gempar dalam kalangan kakitangan dan pengunjung kelab berkenaan semalam.
Haiwan liar itu ditemukan pada pukul 11 pagi sebelum Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkapnya.
Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, seramai empat anggota agensi itu bergegas ke lokasi sebaik menerima aduan mengenai penemuan tapir berkenaan.
Menurutnya, pihaknya menggunakan dron bagi mengesan kedudukan haiwan itu sebelum berjaya menangkapnya.
“Kita berjaya menemukan kedudukan tapir jantan tersebut menerusi pemantauan menggunakan dron.
“Haiwan liar tersebut yang dipercayai berasal dari hutan simpan berhampiran kemudiannya berjaya ditangkap,” katanya hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati tapir berkenaan berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tapir itu kemudiannya dilepaskan semula ke kawasan hutan simpan yang terletak kira-kira 300 meter dari Kelab Golf dan Rekreasi Petronas berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



