BERITA SEMASA

Aliff Satar kongsi detik pertemuan dengan Tun M, tersentuh lihat reaksi terhadap foto Allahyarham Tun Hasmah

KUALA LUMPUR – Pertemuan singkat bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggalkan kenangan bermakna buat penyanyi dan pelakon, Aliff Satar, yang turut berkongsi detik perbualan mereka menerusi media sosial.

Menerusi perkongsian di Threads, Aliff meluahkan rasa lega dapat bertemu sendiri dengan tokoh berkenaan selepas dimaklumkan mengenai keadaan kesihatannya yang memerlukan rawatan di hospital.

Ketika berpeluang bertemu, Aliff bertanyakan khabar serta keadaan kesihatan Tun Mahathir, selain menyatakan kegembiraannya melihat senyuman bekas pemimpin negara itu.

“Kami semua risau bila dapat tau Tun masuk hospital. Tun sihat ke? Gembira saya dapat melihat senyuman Tun hari ini,” katanya.

Tun Mahathir kemudian menjelaskan bahawa mendapatkan rawatan di hospital apabila kurang sihat sudah menjadi perkara biasa baginya, terutama pada usia sekarang.

“Biasalah tu, bila dah tua macam ini, sakit sikit, pergi hospital masuk ubat. Selepas itu, keluar balik,” jawabnya.

Bagi Aliff, peluang meluangkan masa bersama tokoh berkenaan meskipun sebentar tetap menjadi pengalaman yang sukar dilupakan, apatah lagi apabila masih banyak perkara yang ingin dikongsikan dalam pertemuan itu.

“Detik-detik berharga. Tak puas tapi cukup. Alhamdulillah, nak tulis kapsyen pun aku tak tahu nak kata macam mana. Singkat sahaja pertemuan dengan Tun tadi tetapi terlalu banyak perkara yang nak dikongsi,” tambahnya.

Namun, antara momen paling menyentuh perasaan dalam pertemuan itu ialah ketika Tun Mahathir melihat sekeping gambar lama yang memaparkan ibu dan bapa Aliff ketika mereka berkhidmat sebagai jurubahasa bahasa isyarat untuk golongan orang kurang upaya (OKU) semasa ucapan beliau.

Gambar berkenaan turut memperlihatkan Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada Tun Mahathir yang telah meninggal dunia.

Menurut Aliff, bekas Perdana Menteri itu mengambil masa untuk menatap gambar isterinya sebelum menulis satu nota khas buat ibunya, sekali gus menjadikan detik tersebut lebih bermakna buat keluarga mereka.

“Mama ayah bawa gambar lama semasa mereka berkhidmat sebagai ‘interpreter’ bahasa isyarat untuk golongan OKU ketika Tun berucap. Bila Tun lihat gambar arwah Tun Hasmah, dia lihat dengan sangat lama sebelum dia menulis sebuah nota untuk Mama. Budak-budak buatkan dia tersenyum,” katanya.

Pertemuan itu turut diserikan dengan hasil kreativiti anak-anak Aliff yang menyediakan hadiah istimewa buat Tun Mahathir.

Alisha menulis sebuah puisi, Ariana menghasilkan kad bergambar Tun Mahathir sedang menunggang kuda, manakala Ali melukis potret dirinya bersama tokoh berkenaan.

Bagi Aliff, peluang mempertemukan keluarganya dengan Tun Mahathir merupakan satu penghormatan yang amat dihargai, selain berharap tokoh berkenaan sentiasa dikurniakan rahmat dan ganjaran daripada Allah SWT.

“Satu penghormatan untuk meluangkan masa bersamanya. Semoga Allah bagi pahala yang banyak untuk Tun,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button