Erdogan kirim doa kesejahteraan buat Tun Dr Mahathir
KUALA LUMPUR – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menitipkan ucapan selamat serta doa kesejahteraan buat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, Presiden Erdogan turut mengambil kesempatan bertanyakan khabar dan keadaan kesihatan negarawan berkenaan ketika pertemuan mereka sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Turkiye.
Menurut Anwar, beliau memaklumkan kepada Erdogan perkembangan terkini mengenai kesihatan Dr Mahathir berdasarkan penjelasan doktor yang merawat.
“Presiden Tayyip Erdogan bertanyakan mengenai kesihatan Dr Mahathir. Saya jelaskan sedikit daripada apa yang disampaikan oleh doktor dan beliau bersama-sama mengucapkan selamat serta mendoakan agar afiah dan keselamatan,” katanya dalam sidang media, memetik laporan Berita Harian.
Tambah Anwar, Erdogan turut menyatakan hasrat untuk menghubungi Dr Mahathir secara peribadi bagi menyampaikan doa dan bertanya khabar sekiranya keadaan kesihatan beliau menunjukkan perkembangan positif.
Selasa lalu, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor.
Negarawan berusia 100 tahun itu dijangka memerlukan beberapa minggu untuk menjalani rawatan serta pemantauan lanjut di hospital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








