Polis rakam 78 keterangan saksi kes kematian lelaki dalam tahanan
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam keterangan 78 saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki Melayu berusia 42 tahun yang meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, lelaki berkenaan ditahan oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 19 September 2026 bagi membantu siasatan beberapa kesalahan di bawah undang-undang.
Menurutnya, lelaki itu dirujuk ke HCTM pada 30 September 2026 untuk mendapatkan rawatan awal sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu jam 1.52 pagi.
“Berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan, tiada sebarang kecederaan organ dalaman dikesan. Bagaimanapun, terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran.
“Punca kematian diklasifikasikan sebagai pending laboratory analysis atau masih menunggu keputusan analisis makmal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan diteruskan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman dari pelbagai sudut.
Katanya, 78 saksi yang telah dirakam keterangan terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik serta wakil Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), termasuk dua orang waris si mati.
Katanya, kes itu turut dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).
Katanya, PDRM memberi komitmen terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keadilan dalam mengendalikan insiden berkenaan.
Sementara itu katanya, JIPS turut meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Katanya, pihak polis memberi jaminan bahawa sebarang salah laku tidak akan dikompromi dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








