Dakwaan AS mahu bantu jatuhkan kerajaan, Hadi sudah dihubungi Bukit Aman
KUALA LUMPUR – Polis telah menghubungi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mendapatkan keterangan berhubung dakwaannya bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan pada 2014.
Perkara itu disahkan Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman yang memaklumkan Abdul Hadi bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Tuan Guru (Hadi) telah dimaklumkan dan sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Tarikh dan masa akan ditentukan,” katanya seperti dipetik FMT.
Permintaan keterangan itu dipercayai bagi membantu siasatan susulan dakwaan yang dibuat Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan pada Muktamar Tahunan PAS ke-72, Sabtu lalu.
Dalam ucapannya, Abdul Hadi mendakwa PAS pernah menerima tawaran daripada pihak asing untuk menjatuhkan kerajaan ketika lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia pada 2014.
Beliau turut mendakwa Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, yang ketika itu merupakan setiausaha politiknya, pernah pergi ke sebuah kedutaan bagi mengadakan pertemuan berkaitan perkara tersebut.
Dakwaan itu kemudian mencetuskan tindakan beberapa pemimpin PKR yang membuat tiga laporan polis di Balai Polis Cheras pada Ahad.
Laporan berkenaan dibuat Naib Ketua PKR Bandar Tun Razak, V. Jonathan; Ketua Wanitanya, Mazlina Osman serta Timbalan Ketua Pemuda, Amarul Hisham Jalil.
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan dakwaan berkenaan, sambil menegaskan bahawa AS tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang memimpin Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







