JENAYAH & MAHKAMAH

Seorang lelaki ditahan, baling rim motosikal dan tumbuk muka anggota polis

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas bertindak menyerang seorang anggota polis yang sedang bertugas di Balai Polis Mutiara Rini di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota kaunter aduan balai polis berkenaan pada kira-kira jam 3.40 petang mengenai kehadiran seorang lelaki dalam keadaan agresif dan berkelakuan tidak senonoh.

Katanya, suspek berusia 22 tahun itu dipercayai bertindak membaling satu rim motosikal serta menumbuk muka seorang anggota polis yang sedang bertugas.

“Berlaku pergelutan dengan pihak polis sebelum suspek ditahan. Akibat kejadian itu, anggota polis yang diserang mengalami kecederaan lebam di bahagian mata kanan dan bahu, selain bengkak di kaki kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, suspek yang kelihatan seperti kurang siuman itu telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Beberapa barangan daripada suspek turut dirampas termasuk sebuah beg silang yang mengandungi sebilah pisau serta satu rim motosikal.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Api Berbahaya 1958,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button