POLITIK

Islam bukan monopoli PAS, rakyat perlu nilai rekod pentadbiran – Aziz Bari

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari menegaskan, kedudukan Islam bukan monopoli PAS, sebaliknya perjuangan memartabatkan agama itu perlu dinilai berdasarkan dasar, sumbangan dan rekod pentadbiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu berkata, PAS hanyalah sebuah parti politik berdaftar dan tidak seharusnya menyamakan sokongan terhadap parti berkenaan dengan kewajipan agama bagi umat Islam.

“PAS adalah sebuah organisasi; sebuah parti politik. Ia bukan agama. Dan tidak semua yang parti itu sebut adalah prinsip Islam; sebahagiannya malah tidak selari bahkan bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan beberapa pemimpin PAS kebelakangan ini yang didakwa menggambarkan bahawa menyokong parti itu merupakan satu kewajipan bagi orang Islam.

Menurut Aziz, perjuangan memartabatkan Islam turut melibatkan parti dan institusi lain termasuk usaha memperkukuh kedudukan agama itu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Related Articles

Beliau berkata DAP juga telah menyatakan komitmen untuk menjunjung kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“Justeru, kedudukan dan isu Islam bukan monopoli PAS,” katanya.

Aziz berkata, pelbagai dasar dan institusi Islam di negara ini termasuk Tabung Haji, universiti Islam, sistem kewangan Islam serta usaha memperkasa mahkamah syariah, bukan legasi PAS semata-mata.

Beliau turut mempersoalkan pencapaian PAS ketika menyertai kerajaan Persekutuan pada 1974 hingga 1977 dan ketika parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan pada 2020 hingga 2022.

“Ketika PAS terlibat dalam kerajaan Persekutuan pada 1974-77 dan 2020-22, tiada program besar yang kekal sehingga sekarang,” dakwanya.

Beliau juga mendakwa PAS gagal membawa Rang Undang-Undang (RUU) 355 berkaitan bidang kuasa mahkamah syariah ke Parlimen ketika berpeluang berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Aziz berkata rakyat perlu menilai perjuangan Islam yang dibawa PAS berdasarkan tindakan dan pencapaian, bukannya retorik politik semata-mata.

Beliau turut mengkritik dakwaan segelintir pemimpin PAS yang mengaitkan sokongan kepada parti itu dengan jaminan syurga, kecintaan terhadap Islam atau keberkatan kepada negeri yang diperintahnya.

“Ada pimpinan PAS yang mendakwa menyokong PAS boleh menjamin syurga. Ada juga yang mendakwa bahawa mereka yang tidak menyokong PAS kerana mereka tidak sayangkan Islam,” katanya.

Aziz turut membangkitkan laporan mengenai kerugian yang ditanggung sebahagian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Terengganu sebagai perkara yang perlu dinilai dalam mengukur kemampuan PAS mentadbir.

Menurutnya, rakyat perlu meneliti rekod prestasi sesebuah parti sebelum menentukan sokongan politik, termasuk menilai keupayaan kerajaan dalam mengurus ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat.

Sebaliknya, beliau berpandangan pencapaian kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan pertimbangan dalam menentukan hala tuju politik negara.

“Baik kedudukan dan kepentingan umat Islam atau prestasi ekonomi semuanya begitu baik dan menggalakkan. Begitu juga dengan kedudukan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Aziz mengakui pentadbiran kerajaan MADANI tidak sempurna, namun berkata cabaran geopolitik yang tidak menentu menjadikan usaha mentadbir negara semakin kompleks.

“Ia memang tidak sempurna. Tetapi ia bukan sesuatu yang mudah terutama dalam suasana geopolitik yang tidak menentu. PAS dan rakan-rakannya telah diberi peluang sebelum ini dan mereka terbukti gagal,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button