BERITA SEMASA

KUSKOP salur pembiayaan hampir RM1 bilion, perkasa 45,000 usahawan Sabah

KOTA KINABALU – Seramai 45,000 usahawan dan koperasi di Sabah menerima manfaat pembiayaan hampir RM1 bilion yang disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sehingga September lalu bagi memperkukuh perniagaan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, pelbagai inisiatif disediakan kementerian bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan, meningkatkan kapasiti operasi dan menembusi pasaran lebih luas.

kuskop
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.

“KUSKOP menyediakan pelbagai inisiatif untuk memastikan usahawan kita tidak kekal di tahap mikro, sebaliknya berupaya berkembang ke skala lebih besar,” katanya.

Selain memperluas akses pembiayaan, KUSKOP turut memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, pendigitalan serta penyediaan infrastruktur perniagaan bagi memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Bagi menyokong usahawan, khususnya di kawasan luar bandar, sebanyak 134 projek Tamu Desa dilaksanakan di Sabah bagi tempoh 2024 hingga 2026, membabitkan peruntukan RM30.53 juta.

Kemudahan itu menyediakan ruang perniagaan lebih selesa, selamat dan kondusif, sekali gus membantu peniaga menjalankan operasi serta meningkatkan potensi jualan mereka.

Usaha memperluas peluang perniagaan itu turut diperkukuh menerusi penganjuran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini.

Bertemakan Bikin Lokal Jadi Hebat, Usahawan Onsoiii, karnival berkenaan menjadi platform kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk, memperluas rangkaian perniagaan dan mendapatkan akses kepada pelbagai sokongan pembangunan keusahawanan.

Sehingga 24 Oktober, karnival itu merekodkan kehadiran 35,000 pengunjung dengan nilai jualan produk usahawan melebihi RM263,000.

Lebih menarik, program padanan perniagaan yang dianjurkan turut membuka peluang kerjasama bernilai sehingga RM999,000, membabitkan 47 usahawan.

Peluang itu membolehkan usahawan meneroka kerjasama strategik, membina rangkaian komersial serta memperluas pasaran bagi produk keluaran tempatan, termasuk ke pasaran yang lebih besar.

Dalam masa sama, usaha mempercepat pendigitalan PMKS turut mendapat sokongan TikTok Shop selaku rakan strategik karnival menerusi pelbagai inisiatif pembangunan perniagaan digital.

Karnival itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Usahawan Sabah TikTok Shop sebagai pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang berjaya memanfaatkan platform digital untuk mengembangkan perniagaan dan memperluas capaian pelanggan.

Pengiktirafan itu mencerminkan kepentingan penggunaan teknologi digital dalam membantu usahawan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perniagaan, selain meningkatkan daya saing produk tempatan.

Secara keseluruhan, penyaluran pembiayaan hampir RM1 bilion kepada 45,000 usahawan dan koperasi disokong pembangunan infrastruktur serta platform promosi dan padanan perniagaan, mencerminkan usaha KUSKOP memperkukuh ekosistem keusahawanan di Sabah.

Sokongan berterusan itu diharap dapat membantu lebih ramai usahawan tempatan meningkatkan skala operasi, menambah nilai produk dan membina perniagaan mampan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button