
8,466 usahawan India terima manfaat program KUSKOP
KUALA LUMPUR – Seramai 8,466 usahawan kaum India di seluruh negara menerima manfaat daripada pelbagai program keusahawanan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) setakat tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, kejayaan tersebut membuktikan iltizam Kerajaan MADANI dalam memperkasa komuniti usahawan India secara menyeluruh, bukan sekadar di atas kertas tetapi melalui tindakan yang memberi impak langsung kepada golongan sasar.
“Sebagai wakil masyarakat India dalam pentadbiran Kerajaan MADANI, saya amat berbangga melihat bagaimana pelbagai inisiatif keusahawanan dapat dilaksanakan dengan kerjasama erat pelbagai agensi.
“Setiap langkah yang diambil bukan hanya simbolik, tetapi memberi makna besar kepada seluruh ekosistem keusahawanan negara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Skim Pembiayaan Vanigham di ibu negara, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi SME Bank, Datuk Muslim Hussain.
Menurut Ramanan, sebanyak RM2 juta daripada RM50 juta peruntukan di bawah skim tersebut telah diserahkan kepada 20 usahawan komuniti India pada majlis berkenaan.
“Inilah bukti nyata komitmen kerajaan dalam menyokong kelangsungan serta pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masyarakat India.
“Ia bukan sahaja satu permulaan yang membanggakan, malah memberi harapan baharu kepada lebih ramai usahawan untuk memperkukuh perniagaan mereka,” katanya lagi.
Skim Pembiayaan Vanigham yang dilaksanakan dengan kerjasama SME Bank memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta bagi tujuan pembelian mesin, peralatan, kenderaan komersial serta modal kerja yang diperlukan untuk pembangunan perniagaan.
Ia turut menawarkan kadar keuntungan yang rendah, iaitu sehingga enam peratus, dengan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM300,000.
Ramanan berkata, skim itu dilihat sebagai peluang terbaik untuk usahawan India daripada pelbagai latar belakang industri yang sebelum ini sukar mendapat akses kepada kemudahan pembiayaan.
“Usaha ini merupakan langkah proaktif yang memberi nafas baharu kepada usahawan India dan saya yakin ia akan membuka lebih banyak peluang untuk memperbaiki taraf hidup masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar usahawan yang berminat mendapatkan maklumat lanjut boleh berbuat demikian melalui KUSKOP atau hadir ke cawangan SME Bank berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








