BERITA SEMASA

Aidilfitri: Baju Melayu oren bata paling banyak ditempah

KAJANG – Tempahan baju Melayu berwarna oren bata paling banyak ditempah daripada seorang tukang jahit di daerah ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berbaki kurang sebulan lagi.

Pemilik Butik Dzulldeclassique, Zulkifli Rahmat berkata, warna tersebut menjadi pilihan rata-rata pelanggannya sejak tempahan baju Melayu dibuka akhir tahun lalu.

Jelasnya, tempahan bagi warna tersebut meningkat selepas ia dikatakan tular di media sosial Tiktok baru-baru ini.

“Warna ini popular sebab viral di Tiktok dalam kalangan remaja. Apabila mereka dah suka warna itu, mereka akan paksa ibu-bapa untuk beli warna yang sedondon,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas mengenai jumlah tempahan baju Melayu pada tahun ini, Zulkifli berkata tempahan agak perlahan jika dibandingkan dengan tahun lalu, namun begitu pihaknya masih berjaya mencapai ‘kuota’ yang ditetapkan.

“Tempahan pada tahun ini agak perlahan. Biasa kita ambil dalam 3,000 pasang baju dan kita masih ambil lagi tempahan sehingga akhir minggu pertama puasa.

“Dulu tempahan baju Melayu boleh mencecah daripada 5,000 hingga 6,000 pasang, tapi sekarang kita tidak boleh ambil sebanyak itu untuk memastikan kualiti baju tersebut dijaga,” jelas beliau yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang jahitan.

Zulkifli Rahmat mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang jahitan.

Tambah Zulkifli, meskipun permintaan baju siap dilihat menjadi menjadi pilihan rata-rata pembeli sejak kebelakangan ini, namun pengusaha kedai jahit seperti beliau sudah mempunyai pelanggan tetap yang kebanyakkannya mempunyai masalah mendapatkan saiz yang tepat.

“Sebenarnya, jenama butik terkenal bukan saingan tukang jahit tempah. Bagi tukang jahit, pelanggan kami terdiri daripada mereka yang ada masalah ukuran badan sama ada gemuk, kurus, tinggi dan rendah yang tidak ada saiz di kedai dan mereka akan tempah.

“Dan di Kajang ini, ramai orang kaya dan VIP yang tidak akan pakai kain bukan citarasa mereka. Mereka selesa dengan kain berharga RM200 semeter di mana harga sepasang baju Melayu cecah RM1,000.

“Jadi mereka tidak akan pakai baju Melayu yang sudah siap dijahit dengan harga RM200 apatah lagi yang memiliki anak ramai dan memilih warna sedondon.

“Jadi tukang jahit masih jadi pilihan mereka untuk ditempah dan di situ kami memiliki  pelanggan sendiri,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button