BERITA SEMASA

Steven Sim sifatkan Allahyarham Cikgu Idrus pendidik yang tegas, berdisiplin dan berprinsip

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim menyifatkan abang Perdana Menteri, Allahyarham Cikgu Idrus Ibrahim bukan sekadar guru, malah seorang pendidik yang banyak memberikan nasihat serta bimbingan kepadanya sejak bergelar ahli politik.

Menerusi hantaran di Facebook, Steven berkata, beliau amat menghargai jasa dan tunjuk ajar Allahyarham yang merupakan abang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Cikgu Idrus bukan sekadar guru dan seorang guru besar kepada saya. Beliau merupakan seorang pendidik yang tegas, berdisiplin dan berprinsip, tetapi sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak muridnya.

“Saya juga sangat menghargai segala nasihat dan bimbingan yang beliau berikan kepada saya ketika saya baru memulakan langkah sebagai Ahli Parlimen sampailah sehingga menjadi seorang Ahli Kabinet.

“Jasa Cikgu sentiasa saya ingat. Takziah buat seluruh keluarga PMX,” katanya.

Allahyarham Cikgu Idrus menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun akibat sakit tua di kediamannya di Cheruk To’kun Bawah, Bukit Mertajam, kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Berita pemergian Allahyarham dikongsikan Perdana Menteri menerusi Facebooknya ketika dalam perjalanan pulang dari China ke Malaysia.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Cheruk To’kun Bawah bersebelahan masjid di Bukit Mertajam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button