Pendaki hilang ditemukan maut di puncak Gunung Liang Barat
TANJUNG MALIIM – Misteri kehilangan seorang pendaki lelaki di Gunung Liang, dekat sini sejak dua hari lalu terjawab apabila mangsa ditemukan meninggal dunia di puncak gunung berkenaan petang semalam.
Mangsa, Mustaqqeem Mansoor, 34, dari Sungai Petani, Kedah, ditemukan kira-kira jam 3.30 petang di kawasan puncak Gunung Liang Barat, menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak.
Menurut kenyataan itu, operasi pencarian diketuai pegawai bomba dengan menggunakan konsep LAST (Lost and Survive Technique), iaitu menelusuri semula laluan pendakian berdasarkan lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Seramai 22 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tersebut.

Siasatan awal mendapati, Mustaqqeem bersama 10 rakan pendaki lain memulakan ekspedisi dari Bukit Fraser, Pahang, pada 10 Oktober lalu, dengan destinasi akhir di puncak Gunung Liang.
Namun, kali terakhir mangsa dilihat pada 14 Oktober sekitar jam 10.30 malam di Gunung Liang Barat, dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan. Sejak itu, mangsa gagal dihubungi sebelum dilaporkan hilang.
JBPM turut memaklumkan bahawa kerja-kerja membawa turun mayat mangsa akan dijalankan menggunakan helikopter bomba pada jam 9 pagi esok, bergantung kepada keadaan cuaca.
“Penggunaan helikopter tidak dapat dilakukan hari ini atas faktor cuaca. Pasukan penyelamat kedua akan naik membawa kelengkapan bagi menggantikan pasukan pertama dan bermalam di puncak Gunung Liang,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan kehilangan Mustaqqeem ketika melakukan aktiviti pendakian bersama kumpulan rakan di gunung berkenaan sebelum operasi SAR dilancarkan oleh pihak bomba.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








